Kalendar baharu Liga-M peluang kelab congak persiapan rapi

Iklan
Liga Malaysia (Liga-M) 2024 yang akan bermula pada 3-5 Mei 2024

PERUBAHAN kalendar Liga Malaysia (Liga-M) 2024 yang akan bermula pada 3-5 Mei 2024 memberi kelegaan kepada barisan jurulatih terutama kelab yang mempunyai ramai pemain muda bagi memberi lebih ruang kepada persiapan pra musim pasukan.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan tarikh itu membolehkannya mencongak persediaan lebih rapi bersama barisan pemain sebaik sahaja latihan pra musim bermula.

Iklan
Iklan
STEINBRUCKNER

Kata jurulatih dari Croatia itu, tempoh masa sebelum Liga-M bermula pada 3-5 Mei 2024 mencukupi untuknya membuat perancangan lebih teratur terutamanya dengan sesi latihan dalam bulan Ramadan pada awal Mac.

Bahkan katanya, beberapa pemain mudanya yang dijangka turut akan terlibat dalam Piala Asia Bawah 23 (B-23) tahun 2024 pastinya akan mendapat kelebihan untuk bersedia tanpa berdepan kekangan masa.

Iklan

"Pemain muda dalam pasukan saya memang penting dan hampir semua daripada mereka sering beraksi dalam kesebelasan utama.

"Jadi, sudah tentu ianya akan beri kelebihan juga dengan tarikh baharu Liga-M pada musim depan bahkan kita juga perlu berlatih dengan tahap maksima untuk menghadapi bulan Ramadan pula.

Iklan

"Apabila kita bermula pada awal Mei dan akan tamat pada April 2025, situasi berbeza dapat dirasai terutamanya apabila kita nak mencari pemain-pemain import baharu nanti lebih senang seiring dengan kalendar Liga-M ini,” katanya.

YUSRI

Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah juga mampu tersenyum dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan tarikh sepak mula Liga-M itu memandangkan penglibatan tiga pemainnya mewakili skuad B-23 negara.

Mereka adalah Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar, Muhammad Aiman Khairul Yusni dan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad yang kini berada di Shanghai, China bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa tier 2 dalam persiapan ke Piala Asia B-23 2024.

"Musim yang agak baharu untuk kita semua apabila tarikh baharu membabitkan dua tahun apabila Liga-M 2024 akan tamat pada April 2025.

"Jadi saya gembira dengan tarikh baharu ini kerana sekurang-kurangnya saya ada masa lebih lama untuk melakukan persiapan dan dalam masa yang sama juga pengambilan pemain baharu juga akan dapat ditelitikan dengan betul selepas ini.

"Dan ini juga merupakan satu perkara baik untuk barisan pemain saya yang rata-ratanya muda di mana sekarang pun ada tiga pemain bersama skuad B23, jadi kalau mereka dipanggil sekali lagi tahun depan, pastinya kepulangan mereka ke pangkuan kelab akan lebih segar dan bertenaga dengan masa yang ada ini.

"Saya berpuas hati dengan kalendar baharu musim depan dan saya percaya bukan saya sahaja, tetapi ia juga akan beri kelebihan kepada kelab lain yang ada ramai pemain muda,” katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan musim baharu Liga-M akan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.

MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga-M sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga-M bersama skuad Harimau Malaya, skuad Harimau Muda, penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perubahan perancangan asal kalendar Liga-M juga terpaksa dilakukan berikutan pengumuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkenaan tarikh Piala Asia B-23 2024 hanya dibuat pada 17 Mei lalu.

KALENDAR LIGA-M 2024/2025

PERTANDINGAN TARIKH MULA TARIKH TAMAT

Liga Super dan Piala Sumbangsih

(Aksi pertama Liga Super) 3-5 Mei 2024 20 April 2025

Piala FA 7 Mei 2024 24 Ogos 2024

Piala Malaysia 18 Oktober 2024 26 April 2025

Piala Cabaran MFL 9 Disember 2024 22 Februari 2025

Piala MFL 13 Mei 2024 15 April 2025

TEMPOH PENDAFTARAN PEMAIN

Pendaftaran Pertama 3 Februari 2024 (Sabtu) hingga 26 April 2024 (Jumaat) 12 Minggu

Pendaftaran Kedua 26 Ogos 2024 (Isnin) hingga 22 September 2024 (Ahad) 4 Minggu