SHAH ALAM - Perlawanan badminton anjuran Akademi Badminton FY Brothers bakal menghimpunkan 220 peserta termasuk kanak-kanak berumur enam tahun dalam persaingan merebut gelaran juara di Pusat Badminton Shah Alam di sini hari ini.
Ketua jurulatih badminton, Faris Mohamad Yusof berkata, perlawanan yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu melibatkan empat kategori beregu iaitu dewasa (15 tahun ke atas) dan kanak-kanak (15 tahun ke bawah) bagi lelaki serta perempuan.
"Istimewanya pertandingan kali ini, peserta akan ditentukan pasangan beregu melalui undian yang kami buat supaya lebih adil.
"Kalau di luar (pertandingan badminton lain), kita kena bawa sendiri (pasangan beregu) menyebabkan perkara ini jadi halangan kepada pemain yang nak sertai.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, Sinar Harian berbesar hati dilantik sebagai rakan media rasmi kejohanan tersebut.
"Kami teruja bekerjasama dengan mereka (FY Brothers) dalam memberi kesedaran kepada semua masyarakat bahawa ada cabang-cabang atau tempat untuk mereka cungkil bakat ini.
"Peserta juga terdiri daripada golongan bekerja tetapi sanggup korbankan masa hujung minggu mereka untuk sertai kejohanan.
"Ia menunjukkan niat dalam memajukan sukan badminton dan inisiatif ini amat membanggakan,” ujar beliau.