KAHERAH (Mesir) - Wartawan Palestin, Khalid Sultan, 30, tidak dapat melupakan kejadian 100 penduduk terperangkap bawah runtuhan bangunan di Gaza dalam satu kejadian selepas dibom rejim zionis bulan lalu.
Menurutnya yang bekerja dengan Independent Television News (ITN), sebahagian daripada mangsa yang terperangkap terkorban manakala selebihnya cedera dalam runtuhan bangunan.
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu berkata, keadaan pada masa tersebut amat kelam kabut malah dia sendiri patah kedua-dua belah kaki dan tangan kiri selain pendengarannya juga terjejas 50 peratus.
"Kejadian ini berlaku pada jam 3 petang kira-kira 33 hari lalu. Semasa kejadian saya sedang bertugas dengan tiga rakan media yang lain.
"Selepas kejadian itu, ambulans hanya dapat mengambil lima mangsa untuk dibawa ke hospital kerana tidak cukup ambulans. Keadaan ini membuatkan ada mangsa yang tersekat di bawah runtuhan dan mengambil masa sehari untuk dikeluarkan.
"Lebih menyedihkan dan kejam, semasa kejadian saya melihat askar Israel menembak mati mangsa yang tersekat di bawah runtuhan," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) di rumahnya di Dokki, Giza Goverorate di sini pada malam Jumaat.
Sumbangan disampaikan Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar ditemani Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Sdn Bhd, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.
MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 30 Disember ini di Syria dan Yemen.
Bercerita lanjut, Khalid berkata, akibat kejadian tersebut dia dihantar ke hospital di Gaza tetapi disebabkan kemudahan yang terhad dan keadaan huru-hara mengambil keputusan keluar Palestin dan berusaha mencari hospital di sini.
"Saya, isteri dan anak kemudian tiada pilihan sebelum naik kereta keldai dalam keadaan cedera parah menyeberangi sempadan Palestin-Mesir di Rafah. Semasa keluar dari Palestin, saya mendapat tahu rumah saya di Jabalia musnah dibom rejim zionis.
"Saya tidak tahu apa nasib keluarga dan saudara mara saya selepas rumah kami dibom. Saya hanya mengikuti perkembangan di Palestin melalui berita dan tidak tahu keadaan mereka sekarang. Proses kami menyeberang keluar dari Palestin ke sempadan Rafa mengambil masa 14 jam dari jam 12 tengah hari dan sampai di Rafa 5 petang esoknya," kata Khalid.
Beliau yang sudah berkhidmat dengan media sejak 2008 tidak pasti bilangan pengamal media yang maut dalam konflik Palestin-Israel itu tetapi difahamkan kira-kira 80 sehingga 100 terkorban.
Ditanya mengenai perasaannya yang berjaya melarikan diri ke sini, dia mengakui tidak seronok kerana hatinya masih lagi berada di Palestin termasuk bimbangkan nasib ahli keluarganya.
"Saya berterima kasih dan sangat sayang kepada rakyat dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dari Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin," ujarnya.