Tiada tindakan pemandu pengangkutan awam bawa warga asing

Iklan
Notis palsu berkaitan tindakan akan diambil terhadap pemandu pengangkutan awam membawa warga asing tanpa mempunyai dokumen yang sah tular di media sosial.

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pemandu kenderaan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk kepada hantaran satu notis tular di media sosial mendakwa tindakan akan diambil terhadap pemandu pengangkutan awam membawa warga asing tanpa mempunyai dokumen yang sah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, notis tersebut adalah palsu yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Imigresen Malaysia sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati mereka sengaja memberikan perlindungan terhadap mana-mana orang yang diketahuinya telah melanggar peruntukan akta ditetapkan.

"Sekiranya demikian mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

"Imigresen Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan," katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.