ALOR SETAR - Acara pelancongan sukan harus diperbanyakkan kerana ia memberi kesan limpahan ekonomi yang baik kepada penduduk setempat serta produk-produk hiliran.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata, acara santai seumpama itu juga memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan tempat tarikan pelancong serta bersejarah di negeri ini khususnya di Alor Setar.
Menurutnya, program serampang dua mata ini amat bertepatan kerana peserta bukan sahaja menyertai acara riadah, pada masa sama bersukan serta dapat melancong dan membeli-belah di negeri ini.
"Diharap program-program seumpama ini dapat diteruskan dari masa ke masa.
"Sambutan amat menggalakkan malah menerima peserta dari luar Kedah, seperti Pulau Pinang, Perlis dan Selangor. Ternyata aktiviti sukan pelancongan mendapat perhatian peminat tersendiri yang gemarkan suasana santai dan riadah,” katanya selepas acara pelepasan peserta Fun Walk Mai Singgah Alor Setar 2024 di Dataran Medan Bandar pada Sabtu.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Nasrankamil Noh serta Ketua Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Program Fun Walk yang disertai lebih 500 peserta itu merupakan salah satu aktiviti bagi mempromosikan Alor Setar sempena Tahun Melawat Alor Setar 2024.
Kolaborasi Sinar Harian sebagai media rasmi ini julung kali diadakan bersama Darulaman Media Event dan MBAS.
Dalam pada itu, Muhammad Radhi turut menggalakkan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak untuk mengadakan program pelancongan sukan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.
"Selain memperkenalkan produk pelancongan Kedah khususnya Alor Setar, peserta berpeluang menikmati keindahan bangunan warisan Kedah yang banyak terdapat di bandar raya ini.
"Ia merupakan sebahagian daripada promosi awal Tahun Melawat Kedah 2035. Saya harap lebih banyak pihak tampil anjurkan program seumpama untuk perkenalkan Alor Setar dan eko-pelancongan sebagai tarikan orang ramai berkunjung ke Kedah,” ujarnya lagi.