GURUN - Bermacam liku dan kisah hitam diharungi penghuni Rumah Qaseh Budiman sebelum menerima 'peluang kedua' meniti hari tua sekali gus membolehkan mereka menumpang teduh bawah satu bumbung.
Ada antara penghuni berstatus yatim piatu, sebatang kara, gelandangan, orang kurang upaya, lumpuh akibat kemalangan selain diusir keluarga atas pelbagai alasan, antara sebab kewujudan premis berkenaan.
Beberapa tahun lalu, penghuni ditempatkan di rumah teres di Merbok sebelum berpindah ke Rumah Qaseh Budiman yang baharu siap dibina di sebuah perkampungan di Guar Nenas, Kedah Oktober lalu.
Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu berkata, tidak pernah terlintas mahu mewujudkan sebuah rumah penjagaan warga emas lelaki, namun beberapa kes yang dirujuk, memerlukan penjagaan sebelum ia tercetus bagi menumpang kasih dan berteduh.
"Kebanyakan penghuni warga emas di sini pula tidak berkahwin, tiada saudara mara, tiada pendapatan atau boleh dikatakan sebatang kara.
"Kita tidak sampai hati untuk menolak kedatangan mereka dan tercetuslah rumah ini di mana di sini kita beri peluang untuk merasai 'kehidupan normal' malah lebih baik dari apa yang mereka lalui sebelumnya," katanya.
Natipah yang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan serta dipilih menjadi Duta Muslim Care Malaysia pernah menyertai misi kemanusiaan ke 12 buah negara berkata, matlamat penubuhan premis berkenaan adalah untuk membantu mereka yang tiada hala tuju.
Bagaimanapun, terdapat banyak cabaran yang perlu dilalui termasuk berdepan dengan masyarakat yang mengambil kesempatan menghantar penghuni biarpun mereka ada keupayaan untuk menjaga ahli keluarga sendiri.
"Kita nak jaga yang betul-betul tiada waris, tak mahu ada yang ambil kesempatan, lepas tangan.
"Harap keluarga yang berkemampuan sama-sama bantu ringankan beban kerana penghuni tidak dikenakan sebarang bayaran dan kos yang digunakan bergantung sepenuhnya dari sumbangan orang ramai," katanya.
Beliau dalam masa sama menggalakkan masyarakat luar tampil membantu bukan sahaja dari segi kewangan, namun perkhidmatan, kepakaran, sumbangan tenaga atau apa sahaja yang boleh dikongsi.
"Pelajar atau mahasiswa atau badan bukan kerajaan (NGO) lain boleh jalankan khidmat sosial seperti ajar mewarna, melukis atau aktiviti lain memandangkan pada situasi dan usia sebegini, mereka mahu dilayan seperti kanak-kanak.
"Jika ada orang luar datang dan raikan mereka, pasti lebih ceria dan membantu perkembangan mental dan fizikal.
Sementara itu, Warden, Muhammad Aikal Najmie Abu Bakar melahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan menyantuni warga emas di premis berkenaan dalam menitik beratkan aspek kebersihan dan keselamatan penghuni.
Seorang penghuni, Ahmad Bakar, 81, berkata, kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk mendalami ilmu agama, beriadah dan menghabiskan masa tua bersama rakan memandangkan statusnya yatim piatu serta tidak pernah berkahwin.
Selain itu, Rosli Omar, 67, berkata, kesedihan akibat kehilangan isteri yang meninggal dunia 7 November lalu terubat setelah diberi peluang berada di Rumah Qaseh Budiman bersama rakan lain yang mempunyai kisah yang pelbagai.
Seorang lagi, Akhmat Milaham, 68, berkata, rumah berkenaan dianggap sebagai perlindungan buat dirinya yang berasal dari Sabah serta tiada tempat bergantung setelah ditimpa kesusahan.
"Baru-baru ini, saya terjatuh dalam bilik air ketika terjaga tengah malam mahu ke tandas buang air, kesannya luka di bahagian kepala, masih sakit-sakit.
"Mujur ada mereka yang menjaga dan bawa untuk rawatan lanjut, jika saya seorang diri, tak tahu apa jadi, nak jalan pun perlu dibantu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Natipah yang aktif dalam dunia kesukarelawan, kini sedang mendirikan sebuah premis bagi menempatkan kira-kira 20 penghuni anak yatim perempuan di mana fasa pembinaan mencecah 40 peratus.
"Buat masa ini, kesemua anak yatim menetap di Rumah Anak Yatim Jariah Qaseh, Sungai Petani, milik seorang individu yang akan diserahkan semula," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 55210 7634 719 atas nama Pertubuhan Jariah Qaseh.