SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Dua individu dipercayai berjiran diberkas selepas bergaduh berpunca tidak tahan mendengar tangisan kanak-kanak dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Subang Bestari dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan sejurus selepas polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 6.29 petang.
"Polis menerima makluman berlakunya kejadian terdapat individu mengamuk melibatkan penghuni di unit pangsapuri terbabit.
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kejadian berpunca daripada bunyi tangisan anak salah seorang individu yang terlibat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, dua individu merupakan lelaki warga tempatan masing-masing berumur 30 dan 42 tahun diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.
"Kedua-dua suspek terlibat masing-masing mengalami luka di bahagian tangan dan telah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
"Setakat ini tiga individu telah dirakam keterangan berhubung kejadian," katanya.
Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan mengesan saksi lain untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324/160 Kanun Keseksaan," katanya.