KUALA LUMPUR - Cadangan untuk mewujudkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyebabkan organisasi itu semakin hilang kredibiliti dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.
Perancang Bandar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pentadbiran PBT tidak seharusnya diganggu dengan campur tangan politik yang ketara hingga menyukarkan peranan mereka untuk menjadi pemudah cara kepada rakyat.
Menurutnya, di Malaysia PBT berperanan menjadi organisasi penting khidmat sepanjang hidup sejak setiap warga negara bermula dari lahir hinggalah meninggal dunia.
"Sekiranya alasan mutu perkhidmatan menjadi ukuran, kita ada majlis perwakilan penduduk (MPP), badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sebagai mata dan telinga
"Jika alasan bahawa ahli majlis kini adalah lantikan politik, apa jaminan bahawa pilihan raya PBT nanti tidak dibayangi oleh parti politik?" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, rakyat masih belum bersedia kerana demografi perbandaran masih tidak seimbang dan ini akan menimbulkan ketidakpuasan hati perwakilan yang bakal dipilih dan boleh memecahbelahkan rakyat berasaskan kaum.
"Kita tidak boleh membuat perbandingan dengan bandar-bandar lain diluar negara kerana setiap negara mempunyai karakter sosial yang tersendiri.
"Di Malaysia, sempadan PBT adalah tidak ketara kerana kadar pergerakan penduduk khasnya di Lembah Klang amat tinggi.
"Sebagai contoh, ramai yang bekerja di KL tetapi tinggal di Shah Alam. Ada yang beralamat di Klang tetapi bekerja dan membayar zakat malah makan minum dan berjual beli di PJ. Persoalannya, jika ada pilihan raya PBT, di mana seseorang itu perlu mengundi?" katanya.
Abdul Razak berkata, dari aspek perwakilan kita telah ada ahli majlis yang mewakili golongan minoriti, malah perlu dilihat mewakili kelompok ekonomi serta profesion lain yang dominan di PBT tersebut
"Kita kena sedar bahawa dalam keadaan sekarang di mana pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap lima tahun pun kita masih tidak boleh 'move on' apabila keputusan diumumkan, inikan pula pilihanraya PBT yang pasti memberi kesan sosial dan psikologi," katanya.
Tambah beliau, faktor lain adalah kos dan masa selain tumpuan PBT lebih kepada menawarkan perkhidmatan berbanding untuk menumpukan persiapan pilihan raya PBT jika ianya dilaksanakan.
"Idea ini telah difikirkan lama dahulu oleh kerajaan dan kerana itulah sejak 1964 ianya digantung perlaksanaannya.
"Saya sebagai seorang perancang bandar dan juga selaku Ketua Bahagian di dalam Wilayah Persekutuan pastinya menolak idea ini sekeras-kerasnya kerana sudah pasti keputusannya jelas memihak kepada satu-satu golongan atau kaum sahaja," tegasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.