KEMAMAN - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun antara peserta termuda dalam kalangan 100 peserta yang menyertai Program Sunathon Masjid Jamek Binjai yang diadakan di sini pada Sabtu.
Muhammad Uzair Al Amin Subaweh, 4 dari Kampong Batu 4 di sini menyertai program khatan itu bersama dua abangnya, Muhammad Usaid Al Hamas Subaweh, 8 dan Muhammad Uwais Alqarni Subaweh, 9.
"Saya tak rasa takut untuk berkhatan. Saya rasa teruja dan gembira sebab dua abang ada sekali dalam program ni," katanya.
Bapa kanak-kanak itu, Subaweh Wahab, 33, berkata, dia tidak melepaskan peluang menghantar tiga anak lelakinya bersunat serentak pada program itu.
Katanya, kesempatan itu perlu dimanfaatkan keluarga berpendapatan rendah sepertinya memandangkan kos berkhatan meningkat saban tahun.
"Banyak pihak yang tidak sedar cabaran dihadapi keluarga yang mempunyai anak lelaki yang ramai untuk berkhatan. Kerana kos itu kita lihat semakin meningkat setiap tahun, jika dahulu mungkin di bawah RM100 untuk seorang.
"Saya ada tanya beberapa klinik sebelum ini, harganya antara RM150 ke RM200 seorang. Macam saya ada tiga anak lelaki, memang terasa juga. Jadi apabila ada program sebegini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kami,” katanya.
Menurut Mohd Tajuddin, 40, program berkhatan secara beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan perlu diteruskan bagi kerana ia dapat membantu menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.
"Saya harap program berkhatan secara beramai-ramai ini dapat diadakan pada setiap tahun dengan mendapat sokongan pemimpin setempat," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah program, Azman Kadir berkata, program khatan perdana anjuran Masjid Jamek Binjai itu menghimpunkan seramai 100 peserta terdiri dalam kalangan anak kariah masjid berusia 4 hingga 12 tahun.
Beliau memberitahu, acara tahunan itu diadakan bagi meringankan bebanan mereka yang berpendapatan rendah dimana seramai sembilan 'tok mudim' bertugas untuk melakukan prosedur itu.
"Yuran dikenakan kepada peserta sebanyak RM60 setiap seorang yang ditanggung oleh penjaga mereka dan baki selebihnya ditanggung oleh Masjid Binjai dibawah Program Khidmat Sosial Masyarakat (CSR).
"Jika mereka berkhatan di klinik, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM180 hingga RM200 seorang," katanya.