PUTRAJAYA - Malaysia bebas menyuarakan pandangan dan pendiriannya termasuk dalam menjalin hubungan baik dengan mana-mana negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Malaysia perlukan sahabat, pelaburan dan negara ini juga tidak upaya berperang dengan orang (negara lain), kita nak baik dengan semua orang (negara),” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang sebelum ini menjadikan hanya Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut merangkumi China.
"Dasar Pandang Ke Timur, masa tu (diperkenalkan tahun 1982) (hanya fokus kepada) Jepun dan Korea (kerana) masa itu keadaan ekonomi China suram tetapi sekarang ekonomi China melonjak dari segi teknologinya, industri dan kekuatan universitinya.
"Xi Jinping (Presiden China) juga menekankan beberapa hal yang sangat menarik kerana satu-satunya pemimpin yang membicarakan soal peradaban dan nilai, sebab itu saya kata Dasar Pandang Ke Timur harus merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan," katanya.
Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.
Anwar dalam masa yang sama berkata, hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat kekal baik biarpun pada masa ini negara menjalinkan hubungan baik dengan China.
"Sebelum dan selepas (kepimpinan Presiden Amerika Syarikat) Joe Biden, hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat masih baik tapi janganlah anggap kita tidak boleh suarakan pandangan kita.
"China itu jiran, itu kuasa besar, dia ada hubungan baik dengan kita, kita baik dengan dia, dia ada masalah dengan Amerika Syarikat, itu masalah dia dengan Amerika Syarikat, buat apa kita campur lebih dari itu," katanya. - Bernama