Kerajaan Melaka diminta kaji penutupan jalan 54 jam

Iklan
Poay Tiong (tengah) melihat kesesakan yang berlaku di Jalan Bendahara susulan penutupan jalan di bangunan merah Banda Hilir, sejak Jumaat.

MELAKA - Penduduk dan peniaga kecil sekitar Bandar Hilir melahirkan kegusaran selepas kerajaan negeri melaksanakan penutupan jalan selama 54 jam sempena Zon Bebas Kenderaan bermula pada Jumaat.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, permasalahan itu telah beberapa diadukan golongan berkenaan kepada pihaknya sehinggakan ada dalam kalangan peniaga di Melaka Raya yang terpaksa menanggung kerugian kerana pelancong terutama yang menaiki kenderaan tidak dapat melalui jalan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan semula dan segera mengkaji pelaksanaan penutupan jalan yang didakwa telah menjejaskan aktiviti harian penduduk termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mahu ke gereja di Jalan Banda Kaba.

"Kita tidak bantah hasrat baik kerajaan untuk mengurangkan karbon, kita memang sokong langkah tersebut salah satu nak wujudkan Zon Bebas Kenderaan tapi apa yang kita nak maklumkan mungkin kawasan dan waktu (pelaksanaan) tidak sesuai untuk kita wujudkannya," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Cina pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong dan ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Cher Leong (kiri) dan Poay Tiong (dua dari kiri) menunjukkan peta jalan-jalan yang ditutup susulan penutupan jalan selama 54 jam di Banda Hilir.

Jelasnya, kerajaan negeri disarankan segera membuat keputusan berhubung perkara ini dan tidak dinafikan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berusaha untuk mengatasi masalah serta isu yang timbul, namun ia belum mencukupi sebagai solusi terbaik.

Iklan

Tambahnya, terdapat juga papan tanda arah yang didakwa mengelirukan seperti jalan sehala, namun arah anak panah atas jalan berbeza, ia dibimbangi akan membahayakan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, agensi berkaitan termasuk MBMB, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kesihatan negeri juga perlu memberikan maklum balas yang jujur kepada kerajaan negeri.

"Agensi yang terlibat lebih mengetahui keberkesanan zon bebas kenderaan tersebut dan beri maklum balas yang tepat jika tidak sesuai.

"Difahamkan ada segelintir pihak yang mahu menyuarakan pandangan mereka tetapi dihalang oleh pihak berkuasa," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan Melaka melanjutkan tempoh penutupan jalan bersempena dengan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, kepada tiga hari berbanding setiap Sabtu sebelum ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.