Kanopi diterbangkan angin hempap kereta

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa kanopi yang dipasang diterbangkan angin sehingga menghempap kenderaan dalam kejadian di Pantai Sura, Dungun. Gambar kanan: Laluan di sepanjang jalan menunjukkan kanopi yang bergelimpangan selepas diterbangkan angin dalam kejadian angin kencang dan ribut di Pantai Sura, Dungun.

DUNGUN - Beberapa kanopi yang digunakan peniaga sempena kejohanan Bola Sepak Pantai di Pantai Sura dekat sini musnah selepas diterbangkan angin sehingga menghempap beberapa buah kenderaan dalam kejadian pada Sabtu.

Difahamkan, seramai 15 peniaga berdepan kerugian apabila barangan perniagaan rosak dan musnah dalam kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari itu.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga, Rohana Muda, 48, berkata, angin kuat yang tiba-tiba datang dari arah pantai sebelum menerbangkan lapan kanopi peniaga di lokasi terbabit dalam tempoh yang singkat.

"Disebabkan ia berlaku mengejut, kami tak sempat buat apa-apa. Banyak barang-barang peniaga termasuk makanan dan pakaian tidak dapat diselamatkan dan rosak terkena hujan," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurut Rohana, terdapat dua individu yang mengalami kecederaan ringan selepas terkena besi kanopi yang diterbangkan angin.

"Penganjuran kejohanan bola sepak pantai ini diadakan selama dua hari bermula semalam.

Iklan

"Semalam cuaca agak baik, banyak jualan kami yang laku. Tak sangka hari ini akan berlaku kejadian buruk begini walaupun hujan kadangkala tidak terlalu lebat," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Adli Sulaiman, 40, berkata, dia tidak menyangka insiden itu berlaku kerana sebelum ini pernah menyaksikan kejohanan sama diadakan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, dia yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak pantai ketika kejadian terkejut melihat apa yang berlaku.

"Sebelum ini sudah pernah ada penganjuran bola sepak pantai di kawasan ini ketika musim tengkujuh namun ketika itu hanya berlaku hujan biasa dan tiada ribut.

"Selepas ini kita harap pihak penganjur lebih berhati-hati sebelum menganjurkan sebarang kejohanan musim begini. Mereka juga perlu peka dengan amaran semasa hujan lebat dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia)," katanya.