Remaja jatuh jambatan Pulau Pinang, dua hari lambai minta tolong

Iklan
Remaja 17 tahun itu berjaya diselamatkan selepas lambaiannya meminta tolong disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan kira-kira 9 pagi tadi. - Foto ihsan bomba

BUTTERWORTH - Seorang remaja perempuan terpaksa berpaut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan di Penang Port Sdn Bhd, di sini, selama dua hari sebelum diselamatkan pada Sabtu.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata, mangsa berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan selepas lambaiannya meminta tolong disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan kira-kira 9 pagi tadi.

Iklan
Iklan

"Remaja itu dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Khamis lepas dan berusaha berenang ke arah sebuah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan tersebut.

"Sepanjang dua hari tersangkut, mangsa memaklumkan dia berusaha melambai ke arah orang awam untuk meminta pertolongan tetapi tidak disedari oleh sesiapa hinggalah seorang pegawai bomba pelabuhan ternampak lambaiannya dan diselamatkan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan temu bual awal, remaja itu dipercayai mengalami tekanan kerana kecewa apabila dua kali gagal dalam ujian memandu dan takut dimarahi keluarganya.

Faris Izwan berkata, remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan lemah tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada 11.23 pagi, Khamis lepas.

Mangsa meninggalkan motosikal milik ibu saudaranya di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini, dari arah Perai menghala ke pulau. - Bernama