Prestasi Harimau Muda memuaskan tapi perlu ditambah baik

Iklan
Pemain Harimau Muda sebelum perlawanan persahabatan menentang China di Stadium Jinshan, Shanghai pada Sabtu. - Foto FAM

SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara masih perlu memperbaiki beberapa elemen biarpun berjaya mengatasi China, 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jinshan, Shanghai pada Sabtu.

Biarpun begitu, pengendali Harimau Muda, Juan Torres Garrido mengakui secara keseluruhannya gembira dengan komitmen yang diberikan pemain-pemain dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya cukup gembira secara keseluruhan. Kami sentiasa mencari aspek yang boleh diperbaiki, cuba menyesuaikan gaya permainan selain menjaringkan gol.

"Saya fikir prestasi semua adalah memuaskan hari ini. Seperti yang kami katakan, ia adalah ujian yang baik buat permulaan.

Iklan

"China adalah pasukan yang sangat bagus, tetapi banyak aspek kita perlu tambah baik,” katanya selepas perlawanan itu.

Sebelum itu, pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira Harimau Muda selepas menjaringkan gol tunggal sekali gus melakar kemenangan 1-0 ke atas B-23 China pada aksi persahabatan pertama di Stadium Jinshan di Shanghai pada Sabtu.

Iklan

Harith Haiqal yang juga merupakan pemain Selangor FC mencetak nama selaku penjaring pada masa kecederaan minit ke-95.

Ironinya, ini kemenangan pertama Harimau Muda ke atas China daripada 17 pertemuan sejak perlawanan pertama pada 1991.

Dalam pada itu, pengendali dari Sepanyol itu menjangkakan pemain-pemainnya akan berdepan tentangan sengit dalam perlawanan kedua selepas ini.

"Jadi hari demi hari kami cuba untuk menjadi pasukan yang lebih baik apabila anda bermain dua kali dengan pasukan yang sama,” katanya.

Sementara itu, kapten Harimau Muda, Mukhairi Ajmal Mahadi mengakui berpuas hati melihat kesungguhan rakan sepasukan memperagakan aksi penuh bersemangat walaupun bermain dalam cuaca sejuk.

"Alhamdulillah, gol saat akhir sebab kali pertama menang perlawanan persahabatan kita dekat sini. Saya harap semua pemain kekal dan fokus lah untuk pertembungan akan datang nanti.

"Saya rasa teknik, taktikal dah baik dan menjadi, cuma kita perlu sabarlah sikit dengan bola. Saya harap kita dapat menyesuaikan lagi dengan bola dan pada perlawanan akan datang kita buat yang lebih baik,” katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi perlawanan kedua di venue sama, Selasa ini.

Sebagai rekod, dua perlawanan persahabatan di China ini adalah persiapan Garrido bagi mengharungi saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula April tahun depan.

Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D Piala Asia akan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April) sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait (23 April).