'Sistem ranking baharu FIH tidak semestinya beri kelebihan'

Iklan
Subahan Kamal

SISTEM ranking baharu yang bakal dilaksanakan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula esok tidak semestinya memberikan kelebihan kepada pasukan Asia.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, adalah terlalu awal untuk membuat andaian mengenai sistem itu kerana terdapat percanggahan maklumat.

Iklan
Iklan

"Ada pihak yang kata akan memberi manfaat, ada yang kata tidak kerana nak ikut seperti FIFA, semua aksi persahabatan ada mata. Tetapi saya rasa ia akan memberikan kelebihan kepada pasukan Eropah, terutamanya yang beraksi dalam kejohanan Liga Pro.

"Liga Pro ini mahal, kita bukan tak boleh masuk, tapi tak mampu... jadi kami tidak ada pilihan kerana ia sudah diputuskan FIH dan AHF (Persekutuan Hoki Antarabangsa). Saya berharap ia tidak akan mengganggu mata ranking kita.

Iklan

"Perkara baik adalah kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah, dijadualkan pada April ini, akan turut mendapat mata ranking. Beberapa negara seperti Australia dan England dah bersetuju untuk menyertai, mungkin ada juga Kanada, Jepun, Korea Selatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Kejohanan Hoki 5-sebelah (5s) Peringkat Antarabangsa Akademi Sukan UPM-Sejati-Milo di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Menurut FIH, sistem kiraan baharu itu, lebih adil kepada semua pihak, berbanding sistem kiraan lama yang diperkenalkan pada 2003, yang didakwa memberi kelebihan kepada pasukan Eropah.

Iklan

Malaysian Tigers kini menduduki tangga ke-11 dunia, manakala pasukan wanita berada di tempat ke-20.

Sementara itu, Subahan berkata, mesyuarat pertama Jawatankuasa Penilaian Semula bagi mengenal pasti punca kegagalan skuad hoki wanita dan lelaki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo akan diadakan pada 14 dan 15 Januari ini.

Katanya, jawatankuasa itu akan menyediakan laporan terperinci kegagalan itu dalam masa dua bulan, sebelum dibentang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada akhir Februari. - Bernama