ARSENAL akan menghabiskan Hari Krismas di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 1-1 dengan Liverpool di Anfield pada awal pagi Ahad.
Pasukan kendalian Mikel Arteta itu mendahului awal menerusi Gabriel Magalhaes, tetapi Mohamed Salah menyamakan kedudukan untuk Liverpool sebelum rehat.
Keputusan seri boleh dikatakan keputusan yang tepat selepas kedua-dua pasukan menampilkan aksi sengit dan membuktikan alasan mereka muncul sebagai pencabar utama untuk memenangi kejuaraan.
Mengejar kejuaraan pertama EPL sejak 2004, Arsenal berada satu mata di hadapan Liverpool di tempat kedua menjelang perayaan Krismis.
Aston Villa di tempat ketiga menyamai mata dengan Liverpool, Tottenham di tangga keempat berada tiga mata di belakang, manakala juara Manchester City berada enam mata di belakang pendahulu dengan satu perlawanan dalam tangan.
"Permainan bola sepak yang sukar dipercayai, antara yang paling sengit yang pernah saya saksikan dalam 20 tahun dalam liga ini.
"Untuk beberapa saat kami berada di atas, dalam 20 minit terakhir kami mahukan lebih banyak, tetapi keputusan seri adalah keputusan yang adil.
"Saya gembira berada di kedudukan sekarang ini. Esok kami ada makan malam yang indah bersama keluarga, kemudian kembali bekerja," kata Arteta.