KAHERAH (Mesir) - Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dengan kerjasama Pasar Raya Econsave Sdn Bhd akan melancarkan kempen Bangunkan Semula Gaza (BSG) selepas musnah dibom rejim zionis bertujuan mengutip dana daripada rakyat Malaysia.
Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, kempen BSG akan menyuntik kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dana bagi membolehkan usaha memulih dan membangunkan semula kemudahan serta infrastruktur asas di Gaza dapat dilakukan segera.
Jelasnya, setakat ini RM11 juta sudah dikutip menerusi Tabung Kecemasan Palestin yang dilancarkan pada 7 Oktober lalu di Johor Bahru dan daripada jumlah itu, RM5.3 juta sudah disalurkan ke Gaza dalam bentuk bantuan makanan, keperluan asas dan perubatan.
"Keutamaan penduduk Gaza pada masa ini adalah kemudahan asas seperti makanan, air bersih, tempat tinggal seperti khemah dan perubatan. Mereka kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dibom rejim zionis.
"Ketika ini mereka tinggal di celah bangunan dan dalam bangunan kosong malah ada yang tinggal semula dalam rumah mereka yang sudah dibom kerana tiada tempat tinggal dalam keadaan tiada bekalan elektrik atau air.
"Mereka kini berdepan musim sejuk dan amat memerlukan khemah. Ketika ini terdapat 1.8 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan penghantaran bantuan MyCARE dan Econsave ke Palestin di Gudang Medical Worldwide, Badr City, New Cairo di sini pada malam Sabtu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar; Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar; Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam.
MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 30 Disember ini di Syria dan Yemen.
Dr Kamal Nasharuddin berkata, MyCARE dan Econsave sedang membeli 500 khemah dengan kos RM1.2 juta berikutan keperluan mendesak untuk dijadikan tempat tinggal penduduk Gaza ketika ini.
Menurutnya, keutamaan itu perlu diberikan perhatian terlebih dahulu sebelum merancang membina kemudahan asas antaranya masjid, sekolah dan hospital secara berperingkat-peringkat.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, MyCARE dan Econsave sudah membeli dua buah ambulans baharu bernilai RM400,000 dengan kelengkapan perubatan dan rawatan terkini untuk digunakan di Gaza.
Selain itu kata beliau, klinik bergerak yang beroperasi sejak tahun lalu masih lagi digunakan dan pihaknya bercadang untuk menambah lebih banyak lagi kemudahan tersebut.
Dalam pada itu, Mas Imran berkata, pihak Econsave menyumbang RM100,000 dalam bentuk bekalan air bersih untuk diminum dan barang keperluan asas menerusi Op Ehsan ke sempadan Rafah, Mesir sebelum dibawa masuk wakil MyCARE ke Gaza.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM50,000 adalah dalam bentuk air botol mineral manakala RM50,000 lagi barang makanan kering selain selimut bayi dan lampin.