KLANG - Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara meluluskan usul membanteras pemikiran takfiri iaitu budaya mengkafirkan orang lain dalam kalangan pemimpin politik.
Pembentang usul yang juga perwakilan Amanah Kubang Pasu, Asri Bahrom berkata, sikap sedemikian dilihat seolah-olah mempermainkan hak ALLAH SWT yang menentukan hukuman syurga dan neraka.
Menurutnya, mutakhir ini fahaman takfiri atau gejala takfiri mula hidup kembali terutamanya di musim kempen Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri yang berlangsung beberapa bulan lalu.
"Gejala takfiri iaitu mengkafirkan sesama umat Islam merupakan penyakit dalam masyarakat, bahkan ancaman bagi umat Islam.
"Pemahaman ataupun pemikiran mahupun gejala ini dapat menyebabkan sifat ekstrem dan radikal serta mudah menimbulkan fitnah kepada sesiapa sahaja yang berbeza dengannya,” katanya pada Konvensyen Amanah Nasional 2023 di salah sebuah hotel dekat Klang pada Ahad.
Dalam pada itu, Asri turut mencadangkan parti mengambil empat langkah bagi menghapuskan budaya tersebut antaranya mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat, kedua menggubal undang-undang untuk menyekat penyebaran fahaman takfiri dan pemikiran pelampau.
"Ketiga, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan tinggi perlu merangka kurikulum memberi kefahaman dan pengetahuan betul yang tidak mencetuskan permusuhan terhadap Islam.
"Keempat, melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan agensi berkaitan untuk menggubal dan memperkasakan dasar serta pendekatan falsafah rahmatan lil alamin dan wasatiyyah,” katanya.
Kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara hadir pada konvensyen yang bertemakan 'Mengangkat Agenda Perpaduan' sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023.
Terdahulu sebanyak empat usul diluluskan untuk dibahaskan terdiri budaya takfiri dan fitnah, persempadanan semula kawasan pilihan raya, solidariti bersama rakyat Palestin dan menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang (RUU) pekerja sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Usul, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, secara keseluruhan sebanyak 89 usul diterima.
Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 21 usul diterima tanpa bahas dan 19 usul ditolak, manakala 40 usul diterima sebagai cadangan.