HULU TERENGGANU - Seekor ular sawa batik seberat 120 kilogram ditemukan dalam keadaan kekenyangan selepas menelan dua ekor ayam di dalam reban milik penduduk di Kampung Pelandan, di sini, pada Ahad.
Kehadiran reptilia itu disedari pemilik reban ayam tersebut ketika ingin membuka pintu reban ternakannya sebelum menghubungi pasukan keselamatan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (AM) Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, seramai enam anggota APM bergegas ke lokasi itu sejurus menerima panggilan jam 7.45 pagi.
"Kita menerima panggilan oleh JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) memberitahu reban ayam penduduk di kampung itu dimasuki ular.
"Sebaik tiba di lokasi berkenaan kita dapati ular sawa sepanjang 5.4 meter sedang berlingkar di dalam reban ayam itu dipercayai telah menelan dua ekor ayam milik penduduk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.
"Disebabkan ular ini sudah kenyang jadi ia tidak terlalu agresif dan mudah ditangkap.
"Ular ini dibawa ke APM Hulu Terengganu dan diserahkan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut Mohd Zabri, ular sawa jantan itu dipercayai mempunyai pasangan yang mungkin masih ada di sekitar kawasan itu.
"Kita percaya ular ini mempunyai pasangan. Kebanyakan haiwan spesies ini akan keluar pada musim hujan begini untuk mencari makan dan mencari kawasan selamat untuk berlindung disebabkan habitatnya terganggu atau ditenggelami air.
"Justeru, kita nasihatkan kepada orang ramai supaya jangan sesekali bertindak sendiri dan segera menghubungi pihak keselamatan sekiranya terserempak dengan haiwan ini atau haiwan berbisa lain,"katanya.