JOHOR BAHRU - Masalah parkir di kawasan pasar pagi di Jalan Pinang 23, Taman Daya di sini, dijangka diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
Menurut Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut dan projek pembinaan lot parkir tersebut dijangka dimulakan tidak lama lagi.
"Sejak awal tahun saya sering kali ditanya oleh peniaga yang hadapi kesukaran untuk masuk ke sini.
"Saya juga dah bawa bincang benda ni dengan pihak MBJB (Majlis Bandar Raya Johor Bahru) dan rupanya ada tanah kerajaan di sini untuk kita laksanakan projek (parkir) ini.
"Kalau mengikut perancangannya kawasan ini boleh membuatkan sebanyak 50 petak parkir dan ini akan memudahkan lagi orang ramai untuk meletakkan kenderaan bagi berkunjung ke pasar pagi ini," katanya.
Jimmy berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan tinjauan di sekitar kawasan tersebut selepas mengedarkan kalendar 2024 daripada Pusat Khidmat Parlimen Tebrau kepada orang ramai.
Sementara itu Jimmy berkata, selain penduduk sekitar Taman Daya, pasar pagi yang beroperasi selama enam hari seminggu (kecuali Isnin), itu turut menerima kunjungan penduduk dari Tebrau dan Pandan dan keadaan ini menjadikan kawasan berkenaan agak sesak terutamanya pada hujung minggu.
Justeru katanya, kewujudan lot parkir berkenaan akan membantu memudahkan lagi urusan pengunjung pasar pagi berkenaan termasuk juga bagi mereka yang berurusan di Pusat Khidmat Rukun Tentangga (Zon Pinang), di situ.
"Kita faham, di sini ada sebuah pusat khidmat rukun tetangga dan ada yang datang berurusan di situ.
"Oleh itu saya rasa dengan adanya lot parkir akan turut membantu orang ramai yang berurusan di pusat khidmat ini nanti terutamanya, pada sebelah petang," katanya.
___________________________________________________________________________________________________________Peniaga pasar pagi sambut baik langkah wujud lot parkir
JOHOR BAHRU - Langkah mewujudkan lot parkir di sebuah kawasan lapang berhampiran kawasan pasar pagi Taman Daya di Jalan Pinang 23, di sambut baik rata-rata peniaga serta pengunjung pasar berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata peniaga di pasar berkenaan menyifatkan kewujudan lot parkir berkenaan akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan dan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke pasar pagi berkenaan.
Bagi peniaga, Lim Kok Yew, 54, kewujudan lot parkir itu akan membantu mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, apabila pengunjung mudah mendapat parkir, ia turut membantu meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke pasar berkenaan.
"Baguslah bila ada tepat parking (parkir), ini, tak ada lagi sesak (kesesakan) bila orang datang sini (pasar pagi).
"Lagi satu, pelanggan pun senang datang ke son dan tolong sikit kita berniaga," katanya.
Seorang lagi peniaga, Wong Kong Choo, 52, berkata, lot parkir itu nanti juga akan membantu mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di pasar pagi berkenaan.
Katanya ada juga berlaku 'perang mulut' antara orang ramai kerana menghadapi kesukaran untuk meletakkan kereta atau untuk keluar dari kawasan tersebut.
"Bila ada parking (parkir), tak ada jem (sesak), sangat, orang pun senang untuk datang sini.
"Jadi, saya parking (lot parkir) ini dapat segera di siapkan, terima kasih," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ho Seng Lee, 60, berkata, lot parkir di kawasan tersebut akan menarik kunjungan orang ramai ke pasar pagi berkenaan.
Katanya, perkara itu juga akan menyebabkan hasil jualan peniaga di situ juga meningkat.
"Biasanya kalau tak ada parking (parkir), dia orang (pengunjung), terus jalan sahaja, tak singgah.
" Lagi pun, sini selalu saja sebab jem (sesak). Jadi, memang elok lah ada parking (lot parkir) ni," katanya.