Mangsa banjir Felda Kota Gelanggi 1 dipindahkan ke PPS

Iklan
Mangsa ditempatkan di PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 yang dibuka pada jam 9 pagi,Ahad. - Foto Ihsan APM

JERANTUT - Seramai 75 mangsa banjir melibatkan 19 buah keluarga dari Felda Kota Gelanggi 1 di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 pada Ahad.

Sehingga jam 12 tengah hari, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jerantut memaklumkan mangsa terdiri lima lelaki dan tujuh wanita warga emas, 23 lelaki 16 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan.

Iklan
Iklan
Anggota APM membantu memasang khemah yang menempatkan mangsa banjir di PPS tersebut. - Foto Ihsan APM

"Hujan lebat yang berterusan mulai Sabtu telah menyebabkan Sungai Siam melimpah mengakibatkan beberapa buah rumah di Felda Kota Gelanggi 1 dinaiki air.

"Paras air sungai menunjukkan aliran menurun dan mulai surut. Walau bagaimanapun, keadaan masih dipantau dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri hujan akan turun dan menyebabkan paras air sungai meningkat semula," ujar sekretariat tersebut.

Iklan
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan terlibat banjir. - Foto Ihsan APM

Ia berikutan ramalan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, daerah Jerantut dalam amaran bahaya (merah) iaitu hujan sangat lebat dijangka berlaku sehingga Isnin.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut juga telah dibuka secara skeleton (kekuatan separuh) di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut.

Iklan