Pejuang teater Mek Mulung meninggal dunia

Iklan
Saipol Bahari

PEJUANG teater Mek Mulung, Saipol Bahari Mohd Iman meninggal dunia pada usia 47 tahun pada Sabtu kira-kira jam 8 malam di sebuah pusat perubatan swasta di sini dipercayai akibat serangan jantung.

Abang sulung Allahyarham, Mohd Ridzwan Mohd Iman berkata, kematian adik bongsu mereka itu sangat mengejutkan kerana Allahyarham tidak menunjukkan keadaan kurang sihat ketika kali terakhir bertemu.

Iklan
Iklan

"Semalam kami semua berkumpul di kenduri rumah bapa saudara, Saipol pun ada sama, kami duduk bersembang dua tiga jam juga, dia nampak sihat saja.

"Kemudian pada petangnya saya dimaklumkan yang Allahyarham terjatuh, sesak nafas dan sakit dada. Jadi saya minta bawa dia untuk dapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, dia yang dalam perjalanan balik kampung dari Kuala Lumpur ke Alor Setar bersama keluarga kemudiannya menerima panggilan dari salah seorang anak saudara memaklumkan Saipol Bahari sudah meninggal dunia.

"Tak sangka pula kepulangan kami ke kampung beramai-ramai hari ini bagi menguruskan jenazahnya," katanya.

Iklan

Jelasnya, jenazah dibawa ke Masjid Derga untuk disolatkan dan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda.

Saipol Bahari yang merupakan Pengerusi Persatuan Penggerak Warisan Budaya Kedah (Akrab) meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Allahyarham merupakan sebahagian daripada delegasi Mek Mulung yang berangkat ke Bostwana baru-baru ini bagi menerima pengiktirafan sebagai Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera dari Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 5 Disember lalu.

Saipol Bahari yang aktif bertindak sebagai pengarah serta penulis skrip teater Mek Mulung, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penggiat Seni Teater pada Majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Kedah 2023 yang berlangsung bulan lalu.