KUANTAN - Tiga sungai di Jerantut, Pahang dilaporkan melepasi paras amaran setakat jam 1.30 tengah hari Ahad.
Menurut maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai lagi masing-masing di Raub dan Maran pula berada pada paras waspada.
Dua Sungai Tembeling, Kuala Tahan merekod paras amaran iaitu sekitar 66.39 meter (m) berbanding 60.0m dan Sungai Tembeling di Kampung Merting pula 59.0m.
Air Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub masih pada paras waspada dan berlaku sedikit penurunan iaitu 133.46m berbanding 133.61m sekitar pada jam 9 lagi.
Seterusnya, Sungai Liut, Kampung Subuh, Maran pula 25.88 meter.
Berdasarkan rekod, Sungai Ringlet di Cameron Highlands merekodkan kembali pada paras normal.
Bagaimanapun, info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan setakat ini hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK Felda Kota Gelanggi 1) dibuka.
Seramai 75 mangsa membabitkan 19 keluarga dipindahkan akibat hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.