KLANG - Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih Datuk Bandar dan ahli majlis memerlukan situasi menang-menang dengan hak rakyat diutamakan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu sehubungan itu berkata, perbincangan lebih lanjut dan lebih panjang mengenai cadangan tersebut perlu dibuat.
"Ini kerana kalau sampai pada peringkat cadangan, (dalam) cadangan kita mesti ada situasi menang-menang agar semua kaum merasa puas hati dan selamat," katanya pada Ahad.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sebuah hotel di sini.
Beliau bagaimanapun menambah, pilihan raya PBT perlu difikirkan untuk dilaksanakan pada masa depan kerana pihak berkuasa tempatan yang dipilih rakyat akan melaksanakan tugas lebih baik.
"Kalau ia dipilih oleh rakyat, kena bekerja dengan bersungguh sungguh dan bukan untuk kepentingan ketua parti tetapi perlu mengambil hati rakyat.
"Sekarang ini (pemilihan) ahli (majlis) dan sebagainya yang dilantik kena 'jek' (melobi) ketua parti... tapi kalau beri rakyat memilih, kena mengambil hati rakyat," katanya.
Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dilihat dengan berhati hati agar tiada mana-mana kaum yang tercicir apabila pilihan raya PBT dilaksanakan kelak, sebaliknya semua kaum perlu berpuas hati.