MELAKA - Kerajaan Melaka tidak pernah menzalimi atau ingin menganiaya peniaga kecil dan sederhana di sekitar Banda Hilir di sini yang terlibat dengan penutupan jalan sempena pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan selama tiga hari pada setiap minggu bermula Jumaat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penutupan jalan itu masih di peringkat percubaan dan kajian terperinci juga sedang dilakukan dari pelbagai aspek khususnya penyuraian trafik bagi melancarkan perjalanan kenderaan masuk ke kawasan berkenaan.
"Kerajaan negeri bukannya zalim untuk menutup jalan hingga peniaga tidak dapat berniaga dan menyusahkan pelancong, sebaliknya kita memerlukan banyak pelancong yang berkunjung ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 20224) dan keselesaan mereka serta rakyat terutama peniaga adalah penting," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Megasurf Pantai Puteri 2023 sempena TMM 2024 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti kaedah terbaik membawa pelancong masuk ke Banda Hilir sekali gus dapat membantu sektor peniagaan di kawasan tumpuan pelancong itu.
Justeru, katanya, rakyat Melaka dan pelancong diharap dapat bersabar serta tidak terburu-buru membuat kesimpulan berkaitan isu penutupan jalan dan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan tersebut.
"Golongan peniaga di kawasan berkenaan adalah rakan kongsi pelancong bagi kerajaan negeri dan pastinya Melaka akan lebih hebat pada tahun hadapan dengan penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan kerajaan negeri mengumumkan pelanjutan tempoh penutupan jalan sempena Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir kepada tiga hari bermula Jumaat lepas berbanding setiap Sabtu sebelum ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dilaporkan berkata, penutupan jalan berkenaan adalah selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Pelanjutan tempoh penutupan jalan berkenaan mendapat reaksi negatif daripada peniaga dan rakyat Melaka sekali gus berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula pelanjutan tempoh tersebut selain menggesa isu penyuraian trafik dapat diatasi sebaik mungkin.
Mereka juga menggesa tempoh percubaan itu kekal pada setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 12 tengah malam seperti sebelum ini. - Bernama