'Sim Swap' penipuan terbaharu di media sosial

Iklan
PDRM mengesan penyebaran maklumat menerusi aplikasi media sosial berhubung modus operandi baharu penipuan dinamakan sebagai 'Sim Swap' - .Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran maklumat menerusi aplikasi media sosial berhubung modus operandi baharu penipuan dinamakan sebagai 'Sim Swap'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, menerusi mesej yang disampaikan menerusi media sosial, mangsa akan menerima panggilan yang meminta mangsa menekan butang '1'.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setelah mangsa mematuhi arahan untuk menekan butang '1', telefon milik mangsa akan digodam dan diambil alih oleh penjenayah.

"Malah ada mesej yang dihantar oleh penjenayah mendakwa ia daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.

Iklan

"PDRM ingin menegaskan bahawa penyebaran maklumat seumpama itu adalah palsu.

"Pihak jabatan (JSJK) tidak pernah membuat sebaran mesej sedemikian, malah tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan modus operandi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Ramli berkata, pihaknya meminta agar penyebaran informasi tersebut dihentikan bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pengguna telefon diingatkan untuk tidak menekan mana-mana pautan yang meragukan, selain tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui individu tidak dikenali.

Tambahnya lagi, semua nasihat serta pesanan awam yang dikeluarkan oleh JSJK PDRM adalah melalui saluran media cetak dan elektronik rasmi seperti berita di televisyen serta akhbar.

Selain itu menurutnya, hebahan PDRM juga dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi PDRM dan JSJK.

"Sumber sahih mengenai sesuatu pesanan adalah melalui kaedah-kaedah tersebut sahaja," ujarnya.

Menurut beliau, sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 0132111222.