2020 tahun Harimau Malaya buru kejayaan

Iklan
Tan Cheng Hoe

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tahun 2020 bakal menjadi tahun penuh mencabar buat pasukan bola sepak negara apabila perlu mengharungi tiga perlawanan getir dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurutnya, pasukan bola sepak negara mengalas tanggungjawab besar untuk mencipta sejarah pertama kali layak ke pusingan ketiga kelayakan tersebut sekiranya dapat melakar keputusan positif menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Iklan
Iklan

"Kami sedar harapan tinggi yang diharapkan oleh penyokong pasukan negara lebih-lebih lagi ini peluang terbaik kita untuk mara lebih jauh dalam saingan kelayakan ini.

"Namun begitu, ia tetap menjadi tugas sukar buat Harimau Malaya dan saya mahu setiap pemain meningkatkan prestasi sekiranya mahu merealisasikan misi layak ke pusingan ketiga," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Malaysia akan menghadapi dua aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil masing-masing pada 26 Mac dan 31 Mac tahun hadapan sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan Thailand di Bangkok pada Jun.

Skuad Harimau Malaya kini berada dalam posisi selesa di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan ke atas Indonesia (3-2 di Jakarta & 2-0 di Bukit Jalil) dan Thailand (2-1 di Bukit Jalil) selain tewas dua kali kepada Vietnam (0-1 di Hanoi) dan UAE (1-2 di Bukit Jalil).

Iklan

Katanya, tahun 2019 dianggap sebagai tahun cukup bermakna buatnya selepas Harimau Malaya cemerlang meraih keputusan yang disifatkannya luar daripada jangkaan terutama mampu menewaskan jaguh Asean, Thailand di Bukit Jalil.

"Tahun 2019 sememangnya ada meninggalkan memori manis buat saya dan semua penyokong Harimau Malaya dengan persembahan cemerlang pemain dalam beberapa perlawanan penting.

"Tetapi, ia masih belum cukup dan saya mengharapkan tahun 2020 akan memastikan kita dapat meraih keputusan dan peningkatan lebih baik berbanding tahun lalu," katanya.

Dalam masa sama, Cheng Hoe turut mengharapkan penyokong akan dapat terus memberikan sokongan dan kesetiaan kepada Harimau Malaya kerana ia tonik berharga kepada semua pemain.

"Bukan hanya untuk Harimau Malaya, semua penyokong turut perlu memberikan sokongan kepada industri bola sepak negara dengan menyokong pasukan kelab dan negeri supaya ia lebih meriah tahun ini.

"Ia secara tidak langsung akan menaikkan mutu bola sepak di negara ini kerana kita sudah ketinggalan jauh di peringkat antarabangsa," katanya.