KLANG - Datuk Seri Mohamad Sabu berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagi penggal 2023-2026 pada pemilihan kepimpinan parti itu pada Ahad.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu bergandingan dengan, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Pada pemilihan sesi 2019-2022 lalu, Mohamad diangkat sebagai Presiden parti, meskipun hanya berada pada kedudukan ketujuh tertinggi mendapat undian perwakilan.
Perlembagaan parti itu menetapkan, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan.
Berdasarkan perlembagaan itu juga, seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.
Difahamkan, pemilihan kali ini juga merupakan penggal terakhir bagi Ahli Parlimen Kota Raja itu menerajui parti serpihan Pas tersebut.
Terdahulu, Dr Dzulkefly memperoleh undian tertinggi pada pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional bagi sesi 2023-2026.
Beliau yang juga Pengarah Strategi parti mendapat 900 undi.
Undian kedua tertinggi pula dimiliki bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan 899 undi.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof pula memperoleh 755 undian manakala Datuk Seri Mohamad Sabu menduduki tempat kelapan dengan 613 undi.
Secara keseluruhan, seramai 1,008 perwakilan mengundi secara dalam talian atau e-voting bagi memilih speaker, timbalan speaker dan 27 jawatankuasa pimpinan Amanah bagi sesi kali ini.