Harga bawang dari India, Pakistan dijangka naik di Perlis

Iklan
Farah Adlina (kanan) memeriksa harga bawang ketika pemeriksaan dan tinjauan mesra SHMMP di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.

KANGAR - Harga bawang besar dan bawang merah dari India serta Pakistan di Perlis dijangka akan berlaku peningkatan selepas perayaan Krismas.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Farah Adlina Ropaie berkata, tinjauan sebelum ini mendapati, berlaku kenaikan harga sehingga 15 peratus terhadap harga bawang berkenaan yang dijual antara RM5 hingga RM6 di beberapa pasar di negeri itu.

Iklan
Iklan

Katanya, buat masa ini, bawang menjadi antara barangan kawalan yang diletakkan dalam Skim Harga Maksimum Musim (SHMMP) Perayaan Krismas 2023 yang bermula sejak Sabtu hingga 27 Disember.

"Semasa tinjauan kami dapati, harga bawang berada di bawah harga kawalan iaitu sekitar RM4 hingga RM5. Namun terdapat kemungkinan besar juga bawang akan naik harga selepas pelaksanaan harga kawalan SHMMP ini," katanya selepas pemeriksaan dan tinjauan mesra SHMMP di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan harga bawang di Perlis.

"Salah satunya adalah faktor cuaca di mana pada waktu ini hujan sering melanda di beberapa tempat dan kawasan di negara ini menjadikan bekalan itu susah untuk didapati.

Iklan

"Namun di Perlis, ia masih terkawal kerana kita tidak begitu menghadapi masalah ini dengan ketara. Walaupun kita mengambil bekalan bawang dari Pakistan, kita juga tetap ambil bekalan yang sama dari India jadi tidak timbul masalah di sini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah Adlina berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga pemborong dan 107 peruncit pada hari pertama skim itu berlangsung mendapati peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan itu serta menggunakan penandaan harga berwarna merah jambu pada kesemua barangan tersebut.

"Pejabat KPDN Perlis telah menggerakkan semua pegawai penguat kuasa bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di peringkat pemborong dan peruncitan terutama di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri Perlis.

"Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan ke atas perundangan yang dilaksanakan," katanya.