TOKYO - Gara-gara merempuh sekawan burung merpati dengan sengaja, seorang pemandu teksi di Jepun berdepan padah apabila dia diberkas pihak berkuasa.
Jurucakap polis memaklumkan Atsushi Ozawa, 50, melakukan perbuatan itu pada bulan lalu dan penahanannya dibuat pada Ahad kerana didakwa melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar.
"Dia memberi alasan 'marah' pada haiwan tersebut ketika melakukan perbuatan itu.
"Bunyi deruman enjin turut menyebabkan pejalan kaki terkejut lalu membuat aduan kepada polis," lapor media tempatan.
Veterinar yang melakukan post mortem pada bangkai merpati itu mendapati ia mati kerana 'kejutan traumatik'.
"Jalan raya adalah untuk manusia.
"Burung merpati sepatutnya tidak menghalang laluan itu," kata Ozawa ketika disoal siasat.
Sementara itu, pihak berkuasa menyifatkan tindakan itu sebagai 'berniat jahat' bagi pemandu profesional.
Insiden itu turut menerima pelbagai reaksi di media sosial.
"Dia sepatutnya membunyikan hon tetapi sengaja merempuh dengan niat untuk membunuh?
"Sememangnya tindakan melampaui batas," kata seorang pengguna di platform X. - Agensi