PENDEKATAN yang dibawa oleh Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membanteras pemikiran takfiri patut dicontohi oleh parti politik lain demi kesejahteraan negara.
Pemikiran takfiri merupakan budaya mengkafirkan orang lain dalam kalangan pemimpin politik yang kini semakin menular dan sekali gus menunjukkan sikap tidak matang wakil rakyat.
Hal itu merupakan salah satu usul yang diluluskan Amanah di Konvensyen Amanah Nasional 2023 pada Ahad.
Pembentang usul yang juga perwakilan Amanah Kubang Pasu, Asri Bahrom berkata, pemikiran takfiri seolah-olah mempermainkan hak ALLAH SWT yang menentukan hukuman syurga dan neraka.
Menurutnya, mutakhir ini fahaman takfiri atau gejala takfiri mula hidup kembali terutamanya di musim kempen Pilihan Raya Umum (PRU) atau pilihan raya negeri yang berlangsung beberapa bulan lalu.
Lebih menyedihkan apabila seorang pemimpin beragama Islam bertindak untuk mengeluarkan kenyataan mengkafirkan pihak lawan hanya kerana mahu memperjuangkan ideologi politik yang dibawa.
Tindakan melabel ahli politik yang berbeza pandangan sebagai kafir bukan satu langkah tepat sebaliknya, ia mencerminkan negara masih mengamalkan politik tidak matang.
Tambahan pula, kewujudan pelbagai parti di Malaysia telah menyebabkan banyak perbezaan pendapat, fahaman dan sebagainya, namun hal itu tidak seharusnya dijadikan sebagai ‘modal’ untuk menjatuhkan pihak lawan.
Jika diteliti dalam konteks Islam, tindakan mengkafirkan atau memburukkan seseorang demi kepentingan sendiri merupakan satu perbuatan yang bercanggah di sisi agama.
Pemimpin parti politik khususnya yang beragama Islam, mereka perlu menunjukkan bahawa agama dipimpin Rasulullah SAW merupakan penyatuan ke arah keharmonian.
Cara yang terbaik dalam memastikan negara mengamalkan politik matang dengan membuktikan bahawa pandang dan perjuangan yang dibawa oleh parti adalah yang terbaik melalui fakta serta usaha.