KUANTAN - Pembukaan Night Zoo di Mini Zoo Teruntum di sini akan merancakkan lagi pelancongan Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dalam memenuhi sasaran kehadiran 15 juta pengunjung ke negeri ini.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, daripada jumlah itu, pihaknya turut menyasarkan perbelanjaan pelancong di negeri ini sehingga RM18 bilion.
Menurutnya, penambahan aktiviti akan meningkatkan jumlah pelancong asing dan domestik ke negeri ini sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi sampingan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS).
"Pelbagai aktiviti yang kita anjurkan seperti pembukaan Night Zoo akan membuka peluang pelancong datang dan menambah waktu pelancong bermalam di Kuantan dan ia juga membawa kepada peningkatan perbelanjaan meliputi semua industri seperti perhotelan, makanan, minuman, gas dan pengangkutan.
"Kalau ada aktiviti malam mereka akan bermalam dan menambah perbelanjaan mereka. Akan makan dan sebagainya jadi akan memberi impak ekonomi menyeluruh kepada negeri Pahang yang membawa pulangan perbelanjaan sehingga RM18 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kuantan Nite Zoo dan Visit Malaysia Year 2020 Peringkat Negeri Pahang oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Md Shah dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin berkata, Night Zoo itu dihidupkan kembali selepas beberapa tahun ditutup sebagai langkah menjenamakan semula kawasan tersebut.
"Night Zoo ini beroperasi pada setiap malam minggu dan dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pantai Teluk Cempedak.
"Berdasarkan rekod, kita berjaya mengutip sebanyak RM120,000 bagi Mini Zoo sesi siang dan dijangka kutipan itu akan bertambah," katanya.
Menurutnya, pelbagai haiwan di zoo tersebut akan ditambah dari Zoo Kemaman melalui kerjasama kedua-dua zoo tersebut dan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti persembahan bunga api diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
"Hamdan berkata, taman permainan yang berusia lebih 20 tahun dinaiktarafkan bagi memberi keselesaan kepada semua pengunjung.
"Kita telah belanja hampir RM10,000 bagi tujuan ini," katanya.
Sebelum itu, Abdul Rahim ketika berucap turut mengingatkan penduduk untuk bersama-sama menjayakan TMM 2020 dengan menjaga kebersihan bagi menjamin keselesaan pelancong.
Katanya, apabila berkunjung ke tempat baharu antara perkara yang diperhatikan adalah kebersihan.
"Jika kawasan itu bersih dan selesa, kita cenderung untuk kembali semula dan memberi maklum balas baik kepada orang terdekat," katanya.