PENAMPANG - Pemimpin parti diingatkan supaya melupakan sementara segala perbezaan remeh-temeh dalam politik sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi negara.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, GRS telah pun menyatakan pendirian yang jelas untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Terus-terang saya mengatakan kita berasa selesa di bawah Kerajaan Perpaduan ini kerana sekurang-kurangnya kita rasa dihargai dalam sebuah kerajaan yang dibentuk dan setiap ahli dilihat penting.
"Bagi GRS, tumpuan kita seharusnya kepada pemulihan ekonomi, ini yang penting kerana banyak kehidupan rakyat terjejas oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.
"Jadi saya minta supaya kita lupakan sementara segala perbezaan remeh-temeh politik ini dan tumpu kepada menyatupadukan semua usaha serta fokus kita pada memulihkan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar berhubung komitmen Sabah dan Sarawak yang memberikan jaminan untuk menutup episod usaha menukar sokongan dan menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.
Mengulas lanjut, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, sebaik ekonomi berjaya dipulihkan, kerajaan boleh beralih kepada usaha menyatupadukan rakyat merentas pelbagai pegangan agama, bangsa dan budaya.
"Malaysia ini dilihat sebagai sebuah negara yang dianggap agak baik berbanding dengan negara membangun yang lain.
"Tetapi kestabilan kita dijejaskan dengan masalah dan juga persoalan perpaduan.
"Kalau kita lihat sekarang sudah timbul masalah dan cabaran hubungan kaum dan saya fikir kita tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk diberi tumpuan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap politik di Semenanjung harus melihat bagaimana di Sabah boleh mewujudkan silaturahim dan hubungan yang baik walaupun ideologi politiknya masih berbeza.
"Sebagai penduduk dalam satu kawasan, saya bersyukur kerana rakyat Sabah antara rakyat Malaysia yang paling bersatu dalam soal membabitkan keutamaan kepada negeri Sabah.
"Saya fikir masa untuk kita berbalah kerana perbezaan kaum dan agama sudah berlalu.
"Saya ingat rakyat sudah muak dengan masalah dan konflik kaum dan sebagainya.
"Saya rasa kita perlu mempunyai agenda yang lebih baik untuk dipenuhi, harus merentasi kaum dan agama," katanya.