HULU TERENGGANU - Seorang penduduk di Kampung Pengkalan Ajal di sini tidak menyangka pukat yang ditahan bersama tiga lagi rakan di Sungai Berang berdekatan rumahnya sejak malam Sabtu mengena seekor ikan kelah merah yang dianggarkan bernilai hampir RM3,000.
Mohammad Hafifi Abu Bakar, 32, berkata, ikan kelah merah atau nama saintifiknya Tortambra seberat 19 kilogram yang menjadi buruan kebanyakan kaki pancing itu disedari memasuki pukat yang ditahan sekitar jam 5 petang pada Ahad.
"Dalam jam 5 petang semalam, kami turun ke Sungai Berang yang tidak jauh dari rumah untuk melihat jaring yang ditahan.
"Pada mulanya tak sangka ikan bersaiz besar yang saya dapat itu daripada spesies kelah merah. Bila saya tengok dekat baru nampak ikan itu. Mula-mula macam tak percaya sebab bukan senang nak dapat ikan spesies ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Menurutnya, pada mulanya dia berhasrat untuk membiarkan ikan itu hidup, namun keadaan ikan itu sudah tidak aktif dan menunjukkan tanda-tanda akan mati selepas terperangkap dalam pukatnya.
"Ikan ini kalau yang hidup harganya mungkin boleh mencecah sehingga RM6,000 seekor. Bagi yang telah mati harganya sekitar RM140 untuk sekilogram.
"Ikan ini saya serahkan kepada bapa saudara yang merupakan seorang peraih dan sudah ada yang bertanya. Ramai yang sanggup membelinya termasuk dari luar daerah ini," ujarnya yang bekerja sebagai pemasang pendawaian elektrik.
Mohammad Hafifi memberitahu, sudah menjadi kelaziman dia bersama tiga lagi rakannya iaitu Khairuddin Hassan, 44, Alias Hassan, 53, dan Lokman Abd Razak, 35, menahan pukat untuk menangkap ikan liar yang akan dijual bagi menampung pendapatan sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, dia tidak pernah menangkap ikan kelah merah bersaiz besar seperti itu sejak dia memulakan hobi memukat ikan setiap kali musim banjir.
"Tak pernah lagi jumpa kelah merah besar tu. Kali ni betul-betul rezeki terpijak. Kami bersyukur dan akan agihkan hasil jualan yang diperoleh ini bersama-sama termasuk kepada peraih dan pemilik pukat.
"Sudah jadi kebiasaan aktiviti menangkap ikan menjadi rezeki tambahan. Lagipun musim begini tak dapat buat kerja lain. Jadinya, hasil yang diperoleh itu kami kongsi bersama," katanya.