RANTAU PANJANG - Banjir yang melanda Rantau Panjang menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan menyerbu kawasan tersebut untuk bermain air.
Tinjauan Sinar Harian mendapati lokasi itu umpama pesta apabila orang dari luar Rantau Panjang tidak putus-putus masuk untuk melihat situasi tersebut dengan lebih dekat.
Seorang pengunjung dari Kota Bharu, Suhawani Deraman, 41, berkata, dia yang kebetulan datang ke majlis kenduri di sini mengambil kesempatan untuk melihat sendiri suasana banjir.
"Sebelum ini saya hanya melihat kemeriahan di sini melalui perkongsian di Facebook.
"Bila dapat lihat sendiri, barulah saya merasai kemeriahan pesta banjir di Rantau Panjang," katanya.
Adli Zakaria, 33, dari Tanah Merah berkata, setiap kali banjir laluan utama menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang akan menjadi lokasi orang ramai bermain air.
"Ini hari pertama banjir, namun suasananya masih belum meriah kerana masih belum ramai mengetahuinya.
"Biasanya bermula esok, suasana di sini akan menjadi meriah dengan pelbagai gerai jualan makanan," katanya.
Sementara itu, Ida Salleh, 40, dari Pasir Mas berkata, walaupun memberi kebenaran kepada anak-anak untuk bermain air, namun dia tetap membuat pemantauan.
Ujarnya, aspek keselamatan perlu diambil kira walaupun sudah lali berdepan banjir.
"Jika anak bermain banjir saya akan pantau bagi memastikan ia selamat," katanya.