HULU TERENGGANU - Seorang wanita nekad meredah air banjir sedalam satu meter bersama bayinya yang berusia tiga bulan untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.
Fatin Noor Shahira Mohd Fadli, 26, berkata, dia meredah banjir sambil mendukung bayinya, Bibi Afia Mohd Sabri selepas kediamannya dinaiki air kira-kira jam 11 pagi pada Ahad.
"Bila lihat air naik mendadak, saya empat beranak nekad meredah banjir untuk ke PPS (Kampung Pengkalan Ajal).
Menurut Fatin Noor Shahira, kedudukan rumahnya yang berhampiran Sungai Berang berisiko untuk ditenggelami sekiranya air naik mendadak.
"Paras air naik ketika itu mencecah 0.5 meter dan tidak mustahil untuk naik mendadak susulan hujan lebat yang masih tidak berhenti.
"Mujurlah air mula melimpah waktu siang iaitu kira-kira jam 11 pagi semalam. Ia memudahkan saya untuk membawa tiga anak ke PPS dengan selamat.
"Saya tak nak tunggu lagi sebab jika malam air naik lagi tinggi, ia akan menyukarkan pergerakan kami sekeluarga lebih-lebih lagi bimbang keselamatan anak-anak," katanya.