Ekonomi negara dijangka meningkat menjelang Jun 2020: Guan Eng

Iklan
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR - Pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun tahun ini sekali gus membolehkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 4.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia telah bertindak menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus.

Iklan
Iklan

"Kita yakin untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan tersebut, disokong oleh harga komoditi yang semakin pulih selain faktor perkembangan pelaburan awam khususnya perbelanjaan kerajaan serta prospek penyelesaian perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China,” kata beliau dalam temubual dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata, terdapat beberapa kementerian yang mengagihkan peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Bajet 2019 pada Mei atau Jun walaupun wang telah dikeluarkan pada Januari.

Iklan

"(Susulan itu) tender hanya boleh dijalankan pada September atau Oktober manakala tawaran hanya dibuat pada dua bulan atau tiga bulan kemudian. Oleh itu, kerja-kerja hanya boleh dimulakan pada akhir tahun ini ataupun tahun depan.

"Berikutan itu, tiada masalah bagi perbelanjaan pembangunan pada 2019 membabitkan projek-projek yang sedang berlangsung tetapi bagi projek baharu, ia akan dibawa ke tahun hadapan dan ditambah dengan belanjawan (pembangunan baharu) bagi 2020,” katanya.

Iklan

Guan Eng berkata, ekonomi Malaysia juga dijangka rancak dan mendapat rangsangan sekiranya perang perdagangan Washington-Beijing dapat diselesaikan.

Ini sejajar status negara ini sebagai ekonomi pengeksport dan sebarang penyelesaian perbalahan perdagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu mampu memberi manfaat kepada Malaysia.

"Mahu tidak mahu, kita (sentiasa) dipengaruhi oleh keadaan atau suasana perdagangan (luaran). Oleh itu, apabila kita lihat prospek pertumbuhan perdagangan sedunia hanya 1.2 peratus iaitu kadar paling rendah dalam 10 tahun, kita menjangkakan untuk mencapai pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus.

"Bagi tahun 2020 pula, prospek pertumbuhan perdagangan dunia dijangka meningkat kepada tiga peratus. Sehubungan itu, kita yakin unjuran 4.8 peratus dapat dicapai dan melihat pertumbuhan lebih tinggi sekiranya perang perdagangan AS-China dapat diselesaikan,” katanya. - Bernama