SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham milik seorang tokoh korporat pada 18 Disember lalu dilihat tepat mengikut sistem perundangan negara.
Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters Selangor, Dr Helmi Ibrahim berkata, meskipun mengambil masa terlalu lama untuk menjalankan siasatan, namun ia menjadi satu tanggungjawab SPRM untuk menyelesaikan sebarang kes yang dilaporkan.
"Inilah masanya juga untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan iltizamnya yang kental dan tulen dalam membanteras jenayah rasuah.
"Justeru, ia merupakan ‘acid test’ untuk menguji sejauh manakah keseriusan Kerajaan Perpaduan dalam memerangi rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan sita bangunan bernilai antara RM1.5 ke RM2 bilion itu susulan pemiliknya yang juga bekas anggota Kabinet tidak mahu mematuhi arahan SPRM.
Menurut sumber terdekat, bekas menteri yang rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat enggan mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.
Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan anti-penggubahan wang haram yang bermula Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH) itu turut memaklumkan, langkah SPRM wajar dibuat kerana sejak sekian lama masyarakat disajikan dengan pelbagai teori konspirasi terkait individu tersebut hingga menyebabkan negara kerugian akibat perilaku rasuah.
"Diharapkan SPRM menunjukkan siasatan yang profesional dengan hasil bermanfaat.
"Kita tidak mahu ia sekadar hangat-hangat tahi ayam dan hilang punca di tengah jalan sepertimana beberapa siasatan kes berprofil tinggi sebelum ini,” ujarnya.