Liga IPT: Bukan rezeki UiTM Negeri Sembilan

Iklan
Aizzat (tiga dari kanan) bersama barisan jurulatih dan pemain UiTM Negeri Sembilan yang muncul naib juara Divisyen Dua Liga IPT 2023/24.

PENGENDALI pasukan bola sepak UiTM Negeri Sembilan, Mohd Aizzat Adnan menyifatkan rezeki tidak memihak pasukan itu apabila muncul naib juara Divisyen Dua Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi 2023/24 selepas tewas kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 16 tahun (B-16) dalam perlawanan akhir.

Namun Mohd Aizzat tetap berpuas hati apabila para pemainnya memberikan komitmen terbaik selain mengekalkan tahap disiplin dalam perlawanan akhir tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemainnya juga menunjukkan aksi terbaik pada final walaupun bermula agak perlahan, namun tidak berputus asa mengasak pertahanan AMD untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol.

Bagaimanapun katanya, keghairahan UiTM menyerang bagi mencari gol penyamaan akhirnya dimanfaatkan AMD untuk gol yang menutup terus peluang pasukan kembali dalam permainan.

Iklan

"Biarpun begitu, saya puji kesungguhan setiap pemain-pemain UiTM apabila berjaya memberi saingan kepada bakat-bakat muda AMD yang diketahui sememangnya antara pasukan terbaik di Malaysia.

"Alhamdulillah, syukur rezeki UiTM untuk beraksi saingan Divisyen Satu Liga IPT tahun depan berjaya direalisasikan musim ini. Sejujurnya UiTM sudah mencuba sejak beberapa musim sebelum ini untuk layak ke Divisyen Satu Liga IPT, namun kerap kali tersekat suku akhir dan separuh akhir.

Iklan

"Tahniah juga kepada pasukan AMD B16 yang berjaya menjuarai edisi kali ini, yang sememangnya layak menjuarainya berdasarkan pakej pasukan serba lengkap dari aspek teknikal dan taktikal ability," katanya.

Dalam aksi di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu, AMD B16 membuka jaring Muhammad Airel Husainy Yusoff minit ke-25 sebelum gol masa kecederaan minit ke-93 Muhammad Hakim Mohd Hassan melengkapkan kemenangan 2-0 pasukannya.

Kemenangan itu membolehkan AMD B-16 membawa pulang RM7,000, piala pusingan, piala iringan dan medal manakala UiTM menerima RM5,000 serta medal.

Sementara itu, Mohd Aizzat mengakui berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain-pemain sepanjang saingan musim ini

Malah katanya, tahap persediaan pasukan dalam mengharungi kejuaraan berintensiti tinggi musim ini juga berada pada tahap tertinggi.

"Kami bermula baik bermula dari peringkat kumpulan, menang semua perlawanan dengan lapan jaringan dan hanya bolos hanya dua gol.

"Sepanjang 10 hari kejuaraan ini, pemain-pemain juga kurang mengalami kecederaan serius, mungkin disebabkan semangat juang tinggi dan persediaan serta pemantauan rapi barisan barisan kejurulatihan

"Terima kasih juga kepada Datuk Dr Pekan Ramli atas kata-kata semangat dan cabaran kepada pasukan UiTM yang diberikan bermula selepas tersingkir tahun lalu di suku akhir dan kata-kata semangat pada permulaan saingan Liga IPT tahun ini," katanya.