Perang Palestin-Israel: Netanyahu ikrar pergiat kempen menentang Hamas

Iklan
Netanyahu mengenakan pakaian seragam tentera yang lengkap ketika berkunjung ke Semenanjung Gaza pada Isnin. - Gambar AP

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar, Israel akan terus menggandakan kempennya perjuangannya terhadap Hamas dalam beberapa hari mendatang.

Bercakap kepada anggota partinya, Netanyahu yang berkunjung ke Semenanjung Gaza pada Isnin pagi menegaskan, kempen ketenteraan Israel di wilayah bergolak itu 'jauh lagi daripada berakhir.'

Iklan
Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan beliau hanya beberapa hari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, Israel harus mengurangkan intensiti serangannya terhadap pasukan pejuang Hamas.

Peperangan bermula pada 7 Oktober selepas Hamas mengetuai serangan maut ke atas komuniti di dalam Israel.

Iklan

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekitar 20,674 rakyat Palestin telah terbunuh dalam pengeboman Israel sejak itu.

Sebilangan besar kematian melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Iklan

Sementara rakyat Israel yang maut pula berjumlah 1,200 orang apabila anggota Hamas menyerbu merentasi sempadan pada 7 Oktober lalu.

Hamas turut dilaporkan menawan 240 orang dan membawa mereka ke Gaza sebagai tebusan.

Daripada jumlah yang ditawan itu, Israel mendakwa, 132 masih ditahan.

Sehubungan itu, Netanyahu berikrar untuk memusnahkan Hamas dan mengembalikan tebusan kepada Israel.

Dalam mesyuarat bersama pimpinan parti politik Likud pada Isnin, Netanyahu berkata, pasukan tentera yang ditemuinya dalam lawatannya ke Gaza telah menggesa Israel untuk terus berperang.

"Kata mereka semua kepada saya hanya satu perkara: kita tidak akan berhenti dan teruskan (peperangan) sehingga akhir.

"Jadi kami tidak berhenti, kami akan terus berjuang dan mengharungi pertempuran pada hari-hari akan datang dan ia akan menjadi pertarungan yang panjang dan ia belum sampai penghujung," tegasnya.

Sementara itu media Israel dan Arab melaporkan, Mesir telah mencadangkan rancangan untuk gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

Menurut laporan, rancangan itu akan menyaksikan pembebasan berperingkat semua tebusan Israel dan jumlah tahanan Palestin yang tidak ditentukan yang ditahan di penjara Israel selama sebulan setengah, berakhir dengan penggantungan serangan Israel.

Perjanjian gencatan senjata sementara sebelum ini yang dirundingkan oleh Qatar menyaksikan berpuluh-puluh tebusan dibebaskan dari Gaza sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Setakat ini, kedua-dua Israel dan Hamas telah menolak seruan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata. - Awani/Agensi