KOTA BHARU - Banjir di negeri ini bertambah buruk apabila mangsa yang dipindahkan mencecah 12,572 orang pada Selasa.
Tujuh daerah yang terkesan ialah Pasir Mas, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Kota Bharu.
Banjir kali ini menyaksikan 3,860 keluarga ditempatkan di 82 pusat pemindahan sementara (PPS).
Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,210 orang diikuti Kuala Krai (2,516), Tanah Merah (1,783), Machang (462), Gua Musang (271), Jeli (255) dan Kota Bharu 25.
Tiga sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang.
Penduduk dari Kampung Kubang Puyoh, Rantau Panjang, Aliff Rosdi, 25, memberitahu banjir gelombang ke tiga kali ini lebih buruk berbanding sebelum ini.
"Semasa gelombang satu dan dua kami sekeluarga tidak berpindah kerana air hanya di pekarangan rumah sahaja.
"Tetapi bermula semalam (Isnin) air melimpah ke dalam rumah sehingga paras 0.2 meter," katanya ketika dihubungi.
Dia serta tujuh lagi ahli keluarga hampir panik apabila mereka tidak sempat untuk keluar ke PPS berhampiran.