TAWAU - Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dikhuatiri lemas petang Isnin ditemukan meninggal dunia di muara sungai Kampung Kurnia Jaya Jalan Batu Apas 4, di sini pada Selasa.
Mayat Adwa Iman Muhammad ditemukan dalam keadaan terapung pada jam 6.45 pagi oleh orang awam yang mencarinya.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pada hari kedua.
"Bagaimanapun, komander operasi melaporkan kanak-kanak tersebut telah ditemui oleh orang awam kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa yang ditemukan dalam keadaan terapung itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 7.40 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain wujud di sekitar lokasi kejadian.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan kanak-kanak lelaki tersebut dikhuatiri lemas di muara sungai ketika sedang bermain di belakang rumahnya.
Mangsa dipercayai telah terjatuh dan tergelincir di muara sungai sebelum dibawa arus.