Rampasan dadah RM2.4 bilion di Pulau Pinang kejayaan besar PDRM

Iklan
Muhyiddin- Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA - Kejayaan besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang baru-baru ini dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, jelas membuktikan kerajaan amat serius dalam usaha untuk membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Kejayaan yang diraih polis membuktikan pasukan itu tidak pernah membiarkan kes dadah berleluasa di negara ini malah akan terus memerangi dadah dan perkara itu mendapat perhatian dan pujian Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

Muhyiddin ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata, ​​​​​​kegiatan pengedaran dadah kerap berlaku di utara Malaysia yang dikenali sebagai kawasan Segi Tiga Emas.

"Penguatkuasa kita berjaya menemukan penyeludupan dadah yang terbesar di Pulau Pinang dengan jumlah rampasan hampir 10 tan serta kosnya yang melibatkan beratus juta (ringgit)," katanya.

Iklan

Muhyiddin berkata, daripada satu tahap, tindakan membawa mereka yang terlibat dengan najis dadah ke muka pengadilan telah berjaya.

"Apa yang membimbangkan adalah trend dalam kalangan kanak-kanak...berusia 12 tahun hingga 13 tahun terlibat dengan penyalahgunaan dadah...kalau setakat ambil dadah itu satu hal tetapi kadang-kadang pengedaran dadah dan sebagainya...

Iklan

"Malaysia ini macam tempat transit pengedaran dadah, ini tidak baik bagi kita," katanya.

Pada 10 September lepas, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth.

Sindiket membawa dadah dalam 60 guni arang batu daripada Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Op Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru di Pulau Pinang serta Padang Serai, Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap penagih dadah sebaliknya mereka terus dihantar ke pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan pemulihan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Muhyiddin berkata, cadangan itu merupakan satu perkara yang baharu yang akan dikemukakan.

Pada 24 Jun lepas, Bernama melaporkan penagih dadah di negara ini kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara KDN dan Kementerian Kesihatan yang bersetuju untuk melaksanakan 'decriminalization' atau bukan pesalah jenayah terhadap penagih dadah.

"Untuk perkara itu, kita perlu membantu banyak pusat-pusat pemulihan yang ditaja oleh swasta dan kemukakan kepada kerajaan supaya peranan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu lebih ditekankan supaya ia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

"Selain itu, KDN memandang berat mengenai isu dadah dan AADK telah mengambil tindakan yang agak berkesan tetapi ia tidak dapat mengatasi masalah perlakuan salah guna dadah yang sangat membimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, pihaknya juga menekankan penguatkuasaan maritim iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang telah mencapai banyak kejayaan dalam penangkapan terhadap individu-individu yang menceroboh perairan Malaysia.

"Perkara ini (menceroboh perairan Malaysia) tidak boleh dipandang ringan dan kita juga ada kawasan-kawasan perairan yang bertindih dengan negara-negara jiran khususnya Vietnam.

"Tetapi kalau kita tidak jaga dan kawal nanti apabila sampai di peringkat membuat tuntutan di tribunal, kita tidak boleh pertahankan tuntutan kita, itu satu kerugian kepada negara," katanya.

Beliau berkata, peranan itu penting untuk membantu Jabatan Perikanan dari segi mengusir dan menahan bot-bot asing yang masuk di perairan negara ini dan menangkap ikan secara haram serta menjejaskan kos sara hidup nelayan.

"Apa yang penting, KDN mahu APMM ini mempunyai kekuatan lebih besar dari segi aset iaitu memiliki bot besar berikutan perairan negara ini yang agak terbentang luas ...untuk mengawal kawasan-kawasan perairan terlibat bukannya mudah dan saya mempunyai beberapa idea yang akan dikemukakan nanti untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Muhyiddin berkata, idea itu umpamanya mungkin APMM tidak perlu memiliki aset tetapi menggunakan perkhidmatan pembekal aset seperti bot, kapal dan sebagainya yang boleh berkhidmat untuk APMM.

"Kita cuma pakai dan bayar dalam bentuk pajakan untuk tempoh tertentu dan akhirnya kos kepada kerajaan tidak begitu tinggi," katanya. - Bernama