KUALA KRAI - Beberapa penduduk yang terkandas terpaksa menumpang rumah saudara-mara apabila jambatan Tanjung Kala, Kuala Pertang di sini ditenggelami banjir pada Selasa.
Penduduk Kampung Sungai Tasan, Norazilawati Makhtar, 29, berkata, sudah dua hari dia tidak dapat pulang ke kediamannya.
"Saya, suami dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah abang.
"Kebetulan pada Ahad kami baru pulang dari Kuala Lumpur selepas menghantar adik belajar di sana," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, pada hari kejadian mereka terkejut mendapati laluan ke rumah sudah ditenggelami banjir.
Ujarnya, mereka berterima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu dengan bot sehingga berjaya pulang ke rumah.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Saiful Majid, 25, berkata, sudah tiga hari mereka terkandas sehingga bekalan makanan hampir habis.
"Alhamdulillah, hari ini air sudah surut sedikit dapatlah saya keluar untuk mendapatkan bekalan makanan.
"Saya harap cuaca akan terus bertambah baik selepas ini," ujarnya.
Sementara itu, Saadi Ibrahim, 49, berkata, dia dan isteri membuat keputusan untuk menumpang di rumah adiknya di Kampung Pertang apabila melihat jambatan Tanjung Kala tenggelam.
Dia memberitahu, ia bagi memudahkan urusan mereka untuk ke tempat kerja.
"Sudah tiga hari saya menumpang di rumah adik selepas banjir melanda kawasan ini pada 24 Disember lalu," katanya