Penduduk Kukup siap sedia hadapi air pasang besar

Iklan
Sulaiman menunjukkan paras air banjir ketika air pasang besar berlaku pada tahun lalu di rumahnya di Kampung Benteng Kanan, Kukup.

PONTIAN - Penduduk di Kukup, sudah membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar yang dijangka bermula pada Januari.

Tinjauan di Kampung Benteng Kanan, mendapati penduduk sibuk mengalihkan peralatan elektrik, perabot dan barangan rumah mereka termasuk perkakasan kedai ke tempat yang selamat.

Iklan
Iklan

Penduduk, Sulaiman Hassan, 55, berkata, kejadian air pasang besar yang menyebabkan banjir biasanya berlaku pada akhir tahun, namun berbeza pada tahun ini apabila fenomena itu dijangka berlaku pada bulan depan.

Sulaiman mengemas perkakas dapur di rumahnya sebagai persiapan menghadapi fenomena air pasang besar.

Jelasnya, mengambil pengajaran daripada kejadian air pasang besar tahun lalu, dia sekeluarga sudah membuat persiapan awal termasuk bersedia sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan

"Sesetengah perkakas rumah dan peralatan dapur sudah diangkat ke tempat lebih selamat dan tinggi. Manakala selebihnya akan diangkat beransur-ansur sebelum air dijangka naik ketika musim air pasang.

"Kira-kira jam 9 pagi tadi, air sudah mulai pasang, tetapi tidak tinggi dan tidak mencecah rumah kami dan kedai makan di depan rumah yang kami usahakan. Kemungkinan air naik lebih tinggi bulan depan dan keadaan dijangka lebih teruk sekiranya hujan lebat," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Iklan

Seorang penduduk, Baiah Barso, 70, pula berkata, dia dan keluarganya juga sudah membuat persiapan awal bagi mengelak perabot, barangan elektrik dan barang lain daripada ditenggelami air.

Pekan Kukup antara kawasan yang kerap dinaiki air susulan air pasang besar.

"Orang kampung di sini kebanyakannya nelayan tahu tentang air pasang yang akan berlaku pada hujung tahun pada November, Disember dan awal Januari.

"Kali ini saya mula membuat persediaan awal bagi mengelak perkara buruk berlaku ketika air pasang besar kerana ada kalanya paras air agak tinggi sehingga menyebabkan tikar getah dan perabot rosak ditenggelami air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Juairiah Muti, 44, berkata, dia sekeluarga berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan musim hujan dan air pasang ketika ini.

"Penduduk melakukan aktiviti harian mereka seperti biasa, dalam masa yang sama tetap berwaspada berdepan kemungkinan berlaku air pasang besar.

"Cuma kami risau jika berlaku hujan lebat fenomena ini bertambah buruk menyebabkan sebahagian besar rumah ditenggelami air," katanya.