Nora Danish enggan terburu-buru

Iklan
Nora Danish meletak sementara impiannya ke tepi untuk bergelar pengarah.

JIKA diukur hasil karya dengan rakan seangkatannya, rasanya sudah semakin jarang melihat kelibat pelakon cantik, Nora Danish sama ada di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Tatkala pelakon seusianya masih ligat menerima tawaran, pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Iklan
Iklan

Timbul persoalan, adakah bintang berusia 41 tahun itu sudah perlahan-lahan mahu meninggalkan kerjaya seninya?

Kesempatan bertemu ibu kepada dua cahaya mata itu baru-baru ini membolehkan penulis mendapatkan jawapan terus daripada empunya diri.

Iklan

"Setakat ini saya tidak memperlahankan karier seni cuma tidak ada tawaran yang menarik.

"Saya pun sudah matang, jadi saya mahukan naskhah yang berbeza. Cemburu juga lihat kawan-kawan yang dapat tawaran menarik," ujarnya kepada SinarPlus.

Iklan

Tambah isteri kepada Mohamad Nedim Nazri itu, dia sebelum itu pernah terfikir untuk membuka syarikat produksi dan seterusnya bergelar pengarah.

Namun enggan terburu-buru berbuat demikian, sementelah masih banyak ilmu yang perlu ditimba sebelum menghasilkan buah tangan pertamanya.

Nora bersama barisan pelakon yang membintangi Sayu Yang Syukur.

"Memang saya pernah beritahu nak buka syarikat produksi sendiri tetapi bila fikir balik, ia bukan mudah. Saya tak mahu hasilkan karya suka-suka sebab bila nak jadi pengarah, kita kena hasilkan yang terbaik.

"Biarlah ada pengalaman dan pengetahuan untuk buat sesuatu. Mengenang dua perkara itu, saya rasa lambat lagi saya akan duduk di kerusi pengarah. Biarlah orang yang lebih layak buat dahulu," jelasnya.

Pada masa sama, aktres yang melonjak namanya menerusi siri Puteri itu mendambakan sebuah naskhah dengan skrip yang hebat untuk membawanya kembali ke set penggambaran.

"Tipulah kalau saya kata tak rindu berlakon, rindu sangat! Harap tahun 2024, saya ada rezeki untuk dapat watak menarik dan paling penting skrip yang hebat.

"Saya juga harap produksi di Malaysia ini diberi lebih masa untuk menghasilkan sesebuah karya dan bukannya hari ini penggambaran, esok sudah ditayangkan di kaca TV," katanya yang baru sahaja selesai membintangi sebuah filem bersama produksi Indonesia.

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam filem kedua arahan Datuk Aaron Aziz iaitu Sayu Yang Syukur, Nora berkata, mereka menjalani penggambaran kira-kira lapan tahun yang lalu.

Membawakan watak sebagai Liana, Nora mengakui amat mengagumi cara Aaron bekerja.

"Nampak muka garang, selalu berlakon cerita gangster tetapi Aaron ialah seorang pengarah yang baik dan berkaliber.

Nora mengakui rindu untuk kembali berlakon.

"Dia sangat tenang di set dan tak pernah dengar marah-marah. Kalau tak suka, dia akan minta kita buat semula," ujarnya yang berharap Sayu Yang Syukur akan menjadi pilihan penonton.

Selain Nora dan Aaron, turut membintangi filem tersebut ialah Arja Lee, Fairie Khalil, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Raja Ema, AR Badul dan ramai lagi.

Filem Sayu Yang Syukur akan mula ditayangkan di pawagam bermula 28 Disember ini di seluruh negara.

Pengiring

Sementara itu, kehadiran pengawal peribadi atau bodyguard yang menemani Nora sepanjang sesi tayangan tersebut turut menarik perhatian ramai.

Jelas Nora, dia sudah diiringi pengawal peribadi sejak tujuh tahun lalu atas saranan suami tercinta.

"Ini keputusan suami. Saya ada bodyguard tidak ada kena-mengena dengan isu keselamatan tetapi saya ini jenis yang leka dan cuai.

"Bukan itu sahaja, saya juga selalu lupa letak barang di mana. Jadi, mereka (bodyguard) yang akan membantu termasuklah menghantar saya ke mana-mana.

"Suami saya pun jenis yang sentiasa telefon untuk tahu keadaan dan keberadaan saya.

"Sejak ada pengawal peribadi, suami akan rujuk bodyguard tersebut," jelasnya.