447 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS lain

Iklan
Hassan (kiri) bersama pegawai memujuk seorang penduduk yang masih tinggal dirumahnya selepas kawasan berkenaan dinaiki air semasa membuat pemantauan di Kampung Bukit Tok Bat hari ini. Foto Bernama

HULU TERENGGANU - Seramai 447 mangsa banjir dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong dan pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23 dipindahkan ke penempatan lain susulan dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di dua PPS sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong.

Iklan
Iklan

"Setakat ini ada dua PPS yang terpaksa ditutup dan kesemua mangsa dipindahkan ke PPS lain susulan dinaiki air. Seramai 146 orang dari PPS Kampung Batu 23 dipindahkan ke SK Kuala Berang manakala 301 mangsa dari PPSK Felcra Gunung Menerong dipindahkan SMK Menerong.

"Kapasiti di dua PPS tersebut masih boleh menampung pertambahan mangsa dipindahkan kerana kapasiti di penempatan tersebut agak besar dan boleh menampung mangsa terlibat dengan bencana," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, berkata, setakat ini paras air banjir di beberapa kawasan di Kuala Berang masih bertahan dan tidak mengalami peningkatan.

Iklan

"Berdasarkan maklumat diterima, air dari pedalaman atau Hulu Kuala Berang masih lagi tinggi dan bergerak deras ke arah Kuala Berang atau terus ke Kuala Terengganu.

"Cuma daerah Besut dan Setiu menunjukkan trend air sungai berlaku penurunan maka pertambahan dari segi mangsa banjir di sana agak statik," ulasnya.

Bagaimanapun, Hassan berkata, kawasan di Kemaman menunjukkan trend air di sungai utama berlaku peningkatan dan deras.

"Jadi saya nasihat kepada penduduk yang masih tinggal dan berada di kawasan penempatan agak rendah supaya berwaspada dan bersiap siaga untuk pindah sebelum air pasang," jelasnya.