Harimau Muda ditundukkan China 1-2

Iklan
Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) ditewaskan China 1-2 di Stadium Jinshan di Shanghai, China pada Selasa. Foto: FB FAM

[DIKEMAS KINI] HARAPAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk mengungguli aksi persahabatan kedua menentang China musnah apabila ditewaskan 1-2 di Stadium Jinshan di Shanghai, China pada Selasa.

Bermain dalam cuaca sejuk, pasukan tuan rumah dilihat tidak seperti lawan Harimau Muda ketika perlawanan pertama pada Sabtu apabila lebih mendominasi perlawanan untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Du Yuesheng.

Iklan
Iklan

Jaringan berkenaan bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad kendalian Juan Torres Garrido untuk mengasak kubu China dan berhasil menyamakan kedudukan apabila Muhammad Aliff Izwan Yuslan menyudah cubaan dilakukan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-34.

Foto: FB FAM

Iklan

Pasukan China di bawah jagaan Cheng Yaodong kemudian berjaya menggandakan kedudukan pada minit kecederaan babak pertama menerusi Tao Qianlong untuk menoktahkan kemenangan 2-1.

Perlawanan hari ini merupakan aksi kedua perlawanan persahabatan Tier 2 di mana Sabtu lalu, Harimau Muda berjaya menewaskan China 1-0 pada aksi persahabatan pertama di lokasi sama.

Iklan

Dua aksi persahabatan berdepan China itu merupakan sebagai persiapan skuad Harimau Muda untuk menghadapi Piala Asia B-23 di Doha, Qatar April depan.

Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D Piala Asia dan akan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April) sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait (23 April).

Sementara itu, Garrido menerusi rakaman audio yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata meskipun tewas hari ini, kedua-dua perlawanan menjadi pengalaman baik dan bekalan penting untuk dibawa oleh anak buahnya ke Piala Asia kelak.

"Saya rasa ia pengalaman baik, kedua-dua perlawanan ini dengan lawan yang bagus, pasukan belajar menghadapi situasi yang berbeza, prestasi dalam perlawanan pertama memuaskan dan pemain memberikan segala-galanya. Jadi kami mengambilnya sebagai sebahagian daripada latihan.

"Tetapi saya fikir kami belum bersedia lagi (untuk menghadapi Piala Asia). Kami akan membuat persiapan pada Mac dan April sebelum perlawanan," katanya. - Bernama