GEORGE TOWN - Seseorang manusia itu tidak boleh digelar sebagai wali ALLAH hanya semata-mata berdasarkan perilaku sebaliknya ia perlu dilihat dari segi iman dan takwa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, berdasarkan kepada firman ALLAH SWT di dalam al-Quran surah Yunus, ayat 62 dan 63, difahami bahawa terdapat dua prasyarat yang diperlukan untuk melayakkan seseorang menjadi wali ALLAH iaitu iman dan takwa.
"Kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang itu wali ALLAH secara pasti memandangkan iman dan takwa adalah urusan hati yang tersembunyi dan tidak mampu dilihat oleh manusia.
"Ia hanya boleh diandaikan dengan melihat secara zahir terhadap kelakuan dan tutur bicara apabila diukur dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum ini, seorang pempengaruh politik telah membuat hantaran dan videonya di akaun X dengan menyatakan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah wali ALLAH.
"Bagaimanapun, jika kelakuan dan ucapannya menyalahi kedua-dua sumber tersebut maka dia tidak boleh dianggap atau dipanggil sebagai wali ALLAH.
"Di dalam sebuah hadis Qudsi yang masyhur daripada riwayat al-Bukhari dinyatakan bahawa wali ALLAH adalah seseorang yang sentiasa berusaha menghampirkan dirinya kepada ALLAH dengan mengerjakan amalan-amalan sunat setelah menyempurnakan amalan fardhu, sehingga ALLAH menyintainya lalu memberkati segala pendengaran, penglihatan dan tindakannya.
"Jika ada sifat-sifat sedemikian pada diri seseorang, maka boleh diharapkan bahawa dia adalah wali ALLAH walaupun tidak boleh diyakini hakikat yang sebenarnya.
"Kita boleh andaikan seseorang Muslim itu wali ALLAH dengan memerhatikan amal ibadatnya yang tekun dan akhlaknya yang mulia sebagai sangkaan baik kepada saudara seagama.
"Selain sebagai doa semoga dia adalah orang yang dekat kepada ALLAH SWT dan yang disukai-Nya. Insya-ALLAH semoga orang itu diterima sebagai wali-Nya," katanya lagi.