Peniaga kecil lega tidak terjejas pelarasan tarif elektrik

Iklan
Gambar hiasan.

KUANTAN - Para peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup kini boleh menarik nafas lega kerana pelarasan tarif elektrik di Semenanjung mulai tahun depan tidak menjejaskan mereka dan hanya melibatkan pengguna bekalan tinggi.

Marzaitul Husna Abu Johar, 29, yang mengusahakan perniagaan gula kabung dan sambal hitam di Kampung Peruang, Lipis di sini, berkata, walaupun bengkelnya secara purata menghasilkan sehingga 200 buku gula kabung sebulan, bil elektrik bulanan masih di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) serta mendapat rebat 2 sen/kWj di bawah pelarasan tarif itu.

Iklan
Iklan

Dia berkata, sebagai peniaga yang tidak berpendapatan tetap, keputusan kerajaan untuk 'melindungi' rakyat adalah langkah positif dalam membantu masyarakat.

"Bayaran bulanan bil elektrik bagi bengkel untuk hasilkan produk secara purata ialah RM36 dan saya agak lega kerana kami tidak akan terjejas selepas pelarasan tarif baharu nanti...

Iklan

"Setakat ini, bil bulanan kami mampu bayar dan rasa tidak terbeban... susah juga kalau bil naik, ia sudah tentu akan memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga kami kerana kos sara hidup kini agak tinggi," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024 yang dilaksana di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Iklan

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kWj bagi penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.

Peniaga biskut coklat cip Wan Mohammad Amir Wan Yusof, 31, pula berkata, dia sememangnya mengamalkan langkah penjimatan elektrik bagi mengelak daripada membayar bil yang tinggi.

"Kalau tak guna kipas dan lampu, memang saya tutup suis... setakat ini, kami hanya pakai satu ketuhar kecil di rumah bagi menghasilkan biskut untuk dijual secara kecil-kecilan," katanya.

Bagi pengusaha sajian pencuci mulut Norhabibah Herman, 32, selepas ini dia akan cuba mengamalkan langkah penjimatan bagi mengelak daripada terbeban dengan bayaran bil elektrik yang tinggi.

Sebagai peniaga yang menghasilkan krep durian sejak tiga tahun lepas di Kuantan, Norhabibah berkata dia perlu mengguna beberapa peti sejuk untuk menyimpan produk supaya tahan lama dan segar ketika dijual.

"Kena cuba juga untuk berjimat sebab perniagaan saya memang perlukan peti sejuk untuk menyimpan produk yang dihasilkan... selepas ini, perkakas elektrik lain yang tidak digunakan kena tanggalkan dari soket dan tidak boleh membazir dengan membiarkan lampu serta kipas sentiasa terpasang," katanya. - Bernama